Sunday, April 26, 2009

Anak Dibelasah VS Anak Dikekalkan Kafir...Mana Lebih Teruk?



Memang sudah jelas, kita SEPAKAT orang yang belasah budak memang sukar dimaafkan, sangat mendukacitakan dan perlu dihukum..

Tapi sebenarnya, anak yang dikekalkan menjadi kafir meskipun bapanya telah mengislamkannya, bagi saya, ia lebih sangat mendukacitakan, sangat menyedihkan dan inilah masalah hukum...

Apabila Hukum Islam tidak didaulatkan...

Masalah inilah, perlulah lagi diSEPAKATi

Sekadar perbandingan emosi...

WAllahua'lam

Isu Anak Kekal Non Muslim...Apa Kata Ulama?



Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah.

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."


Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah.

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.


Begitu juga jika dirujuk kepada syarat Hadanah (penjagaan anak) iaitu:

a) Berakal.
b) Islam. Kanak-kanak tersebut mesti ikut salah seorang ibu atau bapanya yang memeluk Islam kerana orang kafir tidak berhak menjaga kanak-kanak Islam. Hadanah merupakan hak kekuasaan, jadi orang kafir tidak berkuasa terhadap orang Islam. Hal ini kerana, mungkin mereka akan pengaruhi kanak-kanak itu keluar Islam. Namun, jika kanak-kanak itu kafir, maka dibolehkan sama ada penjaga itu kafir atau Islam.
c) Iffah dan amanah iaitu tidak fasiq.
d) Bermukim.
e) Ibu tidak berkahwin lain.
f) Tiada penyakit yang jejaskan penjagaan.

Meskipun isu yang disentuh adalah status agama anak, ia juga ada kaitan dengan Hadanah. Jika kelak nanti ada pertikaian penjagaan anak, cara menentukan sama ada syarat Hadanah dipenuhi atau tidak perlu dilihat melalui:

a) Pengakuan penjaga itu sendiri bahawa diri tidak layak seperti berpenyakit.
b) Ada bantahan dari orang lain yang mendakwa penjaga tidak layak dengan bukti yang kukuh.
c) Keputusan hakim yang meragui syarat-syarat Hadanah tidak dipenuhi dan dipastikan melalui penyiasatan.

Jadi, dapat difahami bahawa setelah anak peluk Islam, hak Hadanah diserah kepada si penjaga yang muslim. Ia juga berkait rapat dengan status agama anak yang dikhuatiri dipengaruhi agar keluar Islam. Bagi menentukan sama ada mereka layak atau tidak maka ia bergantung kepada pengakuan, bantahan kukuh dan hakim mahkamah.

Situasi kini dapat lihat keputusan yang agak mengecewakan yang diluahkan oleh Mufti Perak dan lebih 100 NGO Islam setelah keputusan Kabinet tanpa perbicaraan yang putuskan agama anak kekal berada dalam Hindu. Tidak patut keputusan diputuskan tanpa ada perbicaraan mahkamah.

Rujukan:

1) Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Sharbaji, al-Fiqh al-Manhaji (Manhaj Fiqh al-Shafii).
2) al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah
3) Kitab al-Majmu'
4) Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Alfaz al-Minhaj.

Maklumat lengkap tentang cadangan penyelesaian, rujuk link.
Lihat juga bantahan NGO Islam, Majlis Peguam Syarie dan Ulama Malaysia rujuk link.

Saturday, April 25, 2009

Kekal Agama Anak..Hukum Akidah dan Fekah Celaru Habis?



Kata Saidina Umar al-Khattab: Kita adalah kumpulan yang dimuliakan Allah dengan agama Islam...Jadi, Tatkala kita cari kemuliaan selainnya, maka akan dapat penghinaan dari Allah.

Berhubung dengan isu pengekalan agama asal kanak-kanak kepada agama Hindu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sebarang keputusan membabitkan agama Islam sepatutnya dibincangkan dengan Majlis Mufti-Mufti Malaysia terlebih dahulu.

Sambil menyatakan dukacitanya dengan keputusan Kabinet berkaitan isu anutan anak-anak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama kepada Islam, beliau berkata, jika keputusan itu dikekalkan, ia menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

”Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu bukan Islam memeluk Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak itu berumur lebih 15 tahun,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa memeluk agama lain.

Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Keputusan itu merujuk kepada mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Mufti Harussani berkata, agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana mahu memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu.


”Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini,” katanya.

Di samping itu, lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini membantah keputusan Kabinet yang menetapkan kanak-kanak bawah umur kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Allahummansur al-Islam wa al-Muslimin fi Kulli Makan wa Zaman. AMIN...

Wednesday, April 22, 2009

Ana Berjaya Jawab, Anta Peluk Islam...Setuju?


Ketika berada di Baghdad, Sheikh Hatim al-Asham diberitahu terdapat seorang Yahudi yang pandai berdebat hingga berjaya menewaskan ramai ulama. Akhirnya, beliau bersedia berdebat dengan Yahudi tersebut.

Apabila kedua-duanya sudah bersedia, maka bertanyalah si Yahudi kepada Sheikh Hatim beberapa soalan iaitu:

1. Apakah perkara yang tidak diketahui oleh Allah?
2. Apakah perkara yang tiada di sisi Allah?
3. Apakah yang tiada di dalam perbendaharaan Allah?
4. Apakah yang diminta oleh Allah daripada hamba-hamba-Nya?



Setelah si Yahudi habis bertanya, Sheikh Hatim menjawab: Jika aku berjaya menjawab semua persoalanmu, sanggupkah kau memeluk agama Islam?

Si Yahudi: Ya.

Jadi, persoalan-persoalan yang diajukan dan jawapan balas secara lengkap adalah seperti berikut:

Si Yahudi: Apakah perkara yang tidak diketahui oleh Allah?

Sheikh Hatim: Perkara yang tidak diketahui oleh Allah ialah sekutu-Nya dan anak-Nya yakni Allah tidak mempunyai sekutu dan anak.

Si Yahudi: Apakah perkara yang tiada di sisi Allah?

Sheikh Hatim: Perkara yang tiada pada Allah ialah kezaliman kerana Allah tidak menzalimi hamba-Nya dengan sesuatu.



Si Yahudi: Apakah yang tiada di dalam perbendaharaan Allah?

Sheikh Hatim: Yang tiada di dalam perbendaharaan Allah ialah kepapaan kerana Allah berfirman:

وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ

Yang bermaksud: Allah itu Maha Kaya dan kamu itu fakir.
(Surah Muhammad, ayat 38)

Si Yahudi: Apakah yang diminta oleh Allah daripada hamba-hamba-Nya?

Sheikh Hatim: Yang diminta oleh Allah daripada hamba-Nya ialah membayar hutang kepada-Nya. Allah berfirman:

وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا
Yang bermaksud: Dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik
(Surah al-Muzammil, ayat 20.)

Ia bermaksud Allah menamakan sedekah dan amalan soleh orang beriman yang mengharapkan pahala yang dijanjikan-Nya itu sebagai pinjaman/hutang, dan menyerahkan amalan kepada Allah dengan harapan untuk memperolehi pahala itu dianggap sebagai memberi pinjaman/hutang kepada Allah Taala.

(Penulis tambah: Menurut Tafsir Ibn Kathir, ia bermaksud sedekah yang akan diberi ganjaran yang lebih baik dan lebih banyak. Manakala menurut Tafsir al-Tabari, ia bermaksud, berilah infak daripada harta-harta kamu di jalan Allah.)


Dengan jawapan-jawapan tersebut, Si Yahudi itu pun memeluk Islam pada saat itu juga.

Telah Datang Kebenaran dan Hancurlah Kebatilan.

Monday, April 20, 2009

Non Muslim Baca al-Quran..Syaratnya adalah...



Berdasarkan sejarah Islam, terdapat individu yang telah membaca ayat al-Quran sebelum masuk Islam iaitu:

1. Saidina 'Umar al-Khattab membaca ayat Surah Toha semasa masih kafir, yang akhirnya membawa beliau memeluk Islam.

2. Maharaja Najasyi pemerintah Kristian dari Habsyah membaca ayat Surah Maryam yang akhirnya beliau beriman kepada Allah.

3. Selain membaca, di kalangan mereka juga ada yang mengkaji al-Quran sehingga mereka menemui hidayah Allah.

Pengarang kitab فيض الرحمن في الأحكام الفقهية الخاصة بالقرآن iaitu Dr Ahmad Salim menyebut dalam kitabnya , terdapat dua pendapat dalam perkara ini:

Pendapat pertama: Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah dari orang yang berjunub. Ini adalah mazhab Hambali.

Pendapat kedua: Harus bagi orang kafir untuk membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya.

Ini adalah mazhab Syafie. Pengarang kitab حاشية البجيرمي mensyaratkan supaya orang kafir tersebut diharap untuk masuk Islam.

Apabila dilihat dalam kitab-kitab utama dalam mazhab Syafie ditemui seperti berikut:

Imam Ramli dalam kitabnya نهاية المحتاج berkata:

“Orang kafir tidak ditegah untuk membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya.”



Pengarang kitab مغني المحتاج Imam Muhammad as-Syarbini telah berkata:

“ Perkara kedua yang dilarang bagi orang berjunub adalah membaca al-Quran bagi orang muslim. Adapun orang kafir tidak ditegah membaca kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya seperti yang disebut oleh al-Mawardi.”

Al-Bujairimi berkata dalam kitabnya حاشية البجيرمي على شرح منهج الطلاب :

“Tidak ditegah orang kafir berjunub untuk duduk di mesjid dan membaca al-Quran. Adapun orang kafir yang berhaid dan bernifas dilarang membaca Quran dan duduk di masjid.”

Kalau kita lihat, sebab kepada tidak ditegah orang kafir yang berjunub membaca al-Quran dan duduk di masjid adalah sebab yang sama iaitu mereka tidak percaya kepada kehormatan masjid dan al-Quran.

Rujukan:
1. Dr Ahmad Salim فيض الرحمن في الأحكام الفقهية الخاصة بالقرآن .
2. Imam Ramli نهاية المحتاج
3. Imam Muhammad as-Syarbini مغني المحتاج
4. Al-Bujairimi حاشية البجيرمي على شرح منهج الطلاب

*Maklumat lanjut.

Friday, April 17, 2009

Baling Batu: Kafir Zindik vs Orang Tua



Assalamualaikum...

Saya teringat, saya pernah terbaca sebuah cerita ketika belajar di Sekolah Menengah Agama al-Nahdzah, Bukit Besar Kedah...Cerita ini juga saya temui dalam sebuah majalah berunsurkan Islam terbaru...ceritanya macam ni:

Pada suatu hari orang kafir zindiq mengajukan beberapa soalan kepada seorang lelaki tua (kalau tak silap ia seorang ahli sufi, wAllahua'lam) dengan tujuan untuk mempersendakannya.

Soalan pertama: Saya TIDAK DAPAT MELIHAT Allah, bagaimanakah saya perlu beriman kepada Allah?

Soalan kedua: Macam mana Allah boleh menghisabku dan menjatuhkan hukuman kepadaku sedangkan segala perbuatanku telah diTAKDIRkan?

Soalan ketiga: Macam mana JIN BOLEH DISEKSA DENGAN API di neraka pula, sedangkan jin tu daripada api juga?

Ha...jawab-jawab? (ni saya tambah);p

Tapi yang peliknya, orang tua tu tak jawab pula, sebaliknya dia ambil tanah liat, kemudian dia tengalung (baling) ke arah tiga orang kafir tersebut...

Sebab tak puas hati, mereka mengadu kepada pihak berkuasa, maka orang tua tu pun dibicarakan.

Hakim bertanya: Kenapa kamu tidak menjawab soalan mereka tetapi menyakiti mereka pula?

Orang tua: Sebenarnya saya telah menjawab soalan mereka yang mengatakan TIDAK DAPAT MELIHAT ALLAH dengan tanah liat tersebut.

Kafir Zindik menyampuk: Kau telah menyakiti badanku dengan tanah liat tersebut.



Orang tua: Jika kamu berasa sakit, maka tunjukkan kepadaku di manakah rasa sakit tersebut? JIka kamu tidak dapat tunjuk kepadaku di mana sakit itu maka sakit itu tak wujud.

Sambung orang tua lagi: Kamu menyatakan juga kenapa Allah menghisab dan menghukum kamu sedangkan perbuatan kemu telah ditakdirkan, jadi aku baling tanah tu pun merupakan takdir Allah juga, kenapa kamu perlu mengeluh?

Sambung lagi: Kamu juga menyatakan macam mana Allah boleh seksa jin sedangkan api neraka dan jin tu merupakan unsur yang sama. Kamu dicipta daripada tanah, jadi, bukankah tanah liat yang aku baling tadi telah membuatkan kamu rasa sakit?

Telah datang kebenaran dan telah hancurlah kebatilan...
WAllahua'lam...

Monday, April 13, 2009

Perdebatan Akal Imam Hanafi dan Atheis.


Assalamualaikum..

Terdapat banyak cerita tentang kehebatan Imam Abu Hanifah yang berjaya berdebat dengan golongan mulhid (athies) dan bid'ah. Antaranya ialah cerita perdebatan beliau ketika umurnya masih muda. Ceritanya begini:

Seorang Dahri atau Mulhid (athies) telah menemui Sheikh Hammad iaitu guru Imam Abu Hanifah. Sebelum itu, dia telah mencabar para ulama berdebat dengan mengatakan: Kalian mengatakan Allah itu wujud tanpa ada tempat, sedangkan setiap yang wujud mesti mempunyai tempat.

Ramai ulama telah kalah berdebat, kemudian si Dahri ini bertanya kepada orang ramai: Masih adakah ulama di kalangan kamu yang mampu berdebat denganku?

Mereka menjawab: Ada, beliau bernama Sheikh Hammad.

Si Dahri pun mohon Khalifah agar perintahkan Sheikh Hammad untuk berhujah dengannya. Khalifah memperkenankan permintaan Si Dahri dan memerintahkan Sheikh Hammad dengan diberi tangguh hingga keesokan harinya.

Pada pagi esok, Imam Abu Hanifah yang masih kecil telah mendapati gurunya itu berada dalam keadaan dukacita. Beliau pun bertanyakan sebabnya.

Gurunya menjawab: Aku telah dipanggil oleh Khalifah untuk berdebat dengan si Dahri dalam perhimpunan para ulama. Semalam aku juga telah bermimpi sesuatu yang buruk.

Imam Abu Hanifah: Apa yang Tuan Guru mimpikan?

Sheikh Hammad: Aku bermimpi melihat sebuah dusun yang sangat luas yang terhias. Terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian, muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan memakan buah-buah pohon tersebut sehingga habis dedaun dan buah-buah tersebut. Hanya tinggal batang kayu sahaja. Kemudian, muncul pula seekor harimau daripada umbi pohon tersebut lalu terus menerkam babi itu dan membunuhnya.

Imam Abu Hanifah: Allah Taala telah mengajarkan saya ilmu ta'bir mimpi. Saya mendapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya ta'birkannya.

Sheikh Hammad: Ta'birkanlah wahai Nu'man (nama sebenar Imam Abu Hanifah).

Imam Abu Hanifah: Dusun luas yang terhias itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para ulama. Batang kayu yang tertinggal itu ialah Tuan Guru sendiri. Babi yang muncul itu ialah si Dahri, manakala harimau itu yang membunuh babi tersebut ialah saya sendiri. Berangkatlah, saya akan turut menemani Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujahnya.

Sheikh Hammad bergembira dengan kata-kata Imam Abu Hanifah itu, lalu bertolak bersama ke Masjid Jami'. Kemudian, Khalifah tiba di samping orang ramai telah berhimpun di sana.


Si Dahri datang dan terus naik ke mimbar serta bertanya: Siapakah di kalangan kamu yang akan menjawab soalan-soalanku?

Imam Abu Hanifah menjawab: Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya.

Si Dahri: Siapakah engkau ini, wahai budak? Engkau bercakap denganku sedangkan orang-orang yang ada kemegahan, orang tua, berserban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang luas tidak mampu berdebat denganku. Inikan pula kamu yang masih kecil, masih mentah dan hina.

Imam Abu Hanifah: Allah Taala tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Allah memberi kepada para ulama seperti firman-Nya, bermaksud:

Dan (Allah memberikan kepada) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.
Surah al-Mujadalah, (58): 11.


Si Dahri: Engkaukah yang akan menjawab soalan-soalanku?

Imam Abu Hanifah: Aku akan menjawab dengan Tawfiq Allah.

Si Dahri pun mula bertanya: Adakah Allah itu Wujud?

Imam Abu Hanifah: Ya.

Si Dahri: Di mana?

Imam Abu Hanifah: Allah tidak bertempat.

Si Dahri: Bagaimana mungkin Dia Wujud tapi tidak bertempat?

Imam Abu Hanifah: Dalilnya ada pada diri anda.

Si Dahri: Mana dia?

Imam Abu Hanifah: Bukankah kamu mempunyai nyawa?

Si Dahri: Memang.

Imam Abu Hanifah: Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau di perut kamu? Atau di kaki kamu?

Si Dahri tercengang-cengang tidak tahu jawab. Kemudian Imam Abu Hanifah menyebutkan pula tentang air dengan mengatakan: Bukankah air susu itu mempunyai lemaknya?

Si Dahri: Ya.

Imam Abu Hanifah: Di manakah terletaknya lemak itu di dalam susu? Adakah di sebelah atas atau di sebelah bawah?

Sekali lagi Si Dahri tidak dapat menjawab. Imam Abu Hanifah menambah: Sebagaimana roh juga tidak bertempat di dalam tubuh, lemak tidak bertempat di dalam susu, maka Allah juga tidak bertempat di alam buana ini.

Si Dahri menyoal lagi: Apa yang ada sebelum Allah dan apa yang ada selepas-Nya?

Imam Abu Hanifah: Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesiapa selepas-Nya.


Si Dahri: Bagaimana dapat memahami tiada sesuatu yang mendahului yang maujud dan tiada sesuatu selepasnya?

Imam Abu Hanifah: Buktinya ada pada anggota badanmu.

Si Dahri: Apa dia?

Imam Abu Hanifah: Tiada sesuatu pun yang mendahului ibu jari tanganmu. Dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. (penulis: logik ini sangat tinggi, barangkali orang awam macam kita tidak memahaminya, wAllahua'lam) Begitu jugalah dengan Allah Taala. Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya.

Si Dahri: Ada satu lagi soalan yang ingin aku tanyakan.

Imam Abu Hanifah: Kemukakanlah, Insya Allah aku akan menjawabnya.

Si Dahri: Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang?

Imam Abu Hanifah: Cara engkau tidak betul. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan menjawab jika aku berada di mimbar dan engkau pula di bawah.

Si Dahri pun turun, Imam Abu Hanifah pula di mimbar. Setelah beliau duduk, si Dahri itu pun bertanyakan soalan tadi. Imam Abu Hanifah menjawab: Inilah yang Allah Taala lakukan sekarang. Dia menggugurkan yang batil seperti kamu dari atas ke bawah dan menaikkan yang benar seperti aku dari bawah ke atas.

Si Dahri rasa tertewas dan hujahnya dipatahkan.

Rujukan:
Sheikh Zainal Abidin Muhammad al-Fatani (2007), Aqidah al-Najin fi 'Ilm Usuliddin (Aqidah Kaum Terselamat Dari Sesat & Bid'ah), Singapura: Pustaka Nasional.