Thursday, August 28, 2008

Peluang Pemerkasaan Undang-undang Islam Wajar Segera Diambil.


Assalamualaikum,

Beberapa hari yang lalu kita dikejutkan dengan penganjuran forum yang mencurigakan lantaran terdapat ura-ura untuk menyentuh sensitiviti umat Islam. Antara permasalahan yang ditimbulkan ialah kes memeluk Islam dan sebagainya. Penulis tidak ingin mengulas secara lebih lanjut tentang forum tersebut kerana sudah banyak penulisan ilmiah yang telah memperkatakannya sebelum ini. Bagi penulis, ia jelas menunjukkan umat Islam di negara ini paling tidak, masih punya kepekaan terhadap kedudukan Islam.

Dalam masa yang sama, perlu diakui bahawa situasi semasa memerlukan pemerkasaan kedudukan Islam yang lebih jelas. Turut dibangkitkan sebelum ini ialah hukuman lama yang berasaskan akronim 356 iaitu hukuman maksimum tempoh tiga tahun penjara, denda berbentuk kewangan sehingga RM5,000 serta hukuman enam sebatan. Konsep pencegahan dalam Islam perlu dipandang berat kerana di samping mendidik, Islam juga secara qat'i menetapkan atau mewajibkan hukuman bagi kategori jenayah tertentu yang perlu berdasarkan Islam. Justeru, adalah salah jika ada yang berpendapat Islam tidak mengambil peduli terhadap jenayah.

Namun, penulis mendapati kecenderungan beberapa pendapat yang kelihatan ganjil kerana apabila beberapa ilmuan Islam yang menyeru dan memberi pendapat tentang pemerkasaan hukuman jenayah Syariah, terdapat pula qaul doif (pendapat lemah), bahkan boleh dikategorikan menghina Islam. Hal ini demikian kerana, mereka menganggap hukuman tersebut tidak adil, hukuman bersifat menghukum yang tidak mendidik, sudah lapuk dan sebagainya.

Tanpa niat buruk, secara insaf penulis kecewa kerana terdapat pertubuhan yang mempersoalkan sistem hukuman yang telah dirangka ulama Islam. Bahkan, terdapat di kalangan pemimpin yang bergelar YB (tanpa merujuk kepada sesiapa) yang tidak yakin dengan sistem ini secara terang-terang apabila melibatkan kes rogol, zina dan sebagainya. Ini belum lagi termasuk sistem-sistem Islam yang lain seperti ekonomi dan sebagainya. Yang lebih mengejutkan, terdapat pensyarah di universiti yang masyhur di Malaysia dengan angkuh mengatakan beliau lebih suka memilih sistem konvensional berbanding sistem Islam.

Penulis sangat bersetuju apabila kerajaan senantiasa berhasrat mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Apatah lagi, apabila terdapat kesediaan di kalangan pakar-pakar undang-undang untuk meminda atau buat penambahan bagi melengkapkan lagi undang-undang Syariah. Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Muhammad Asri Abdullah mencadangkan pindaan tersebut. Masa kini dilihat sesuai lebih-lebih lagi sudah lebih dua dekad Akta Mahkamah Syariah 1984 diguna tanpa pindaan.

Usaha ini perlu diteruskan lantaran Islam memiliki kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Malaysia. Di dalam perlembagaan, selain Perkara 11(4), Perkara 12(2) dan Perkara 12(3), jelas dinyatakan bahawa di bawah Perkara 3 : (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ia dikukuhkan lagi apabila Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi agama Islam di negara kita. Kuasa sultan tidak dapat dinafikan dalam menjaga kedudukan Islam, apatah lagi kuasa itu dapat dilihat dalam menyelesaikan permasalahan pemilihan jawatan menteri besar di beberapa negeri.

Setahun lalu, terdapat suara insaf yang mencadangkan supaya rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil. Penulis melibatkan cadangan tersebut ekoran pada masa yang dama terdapat idea alternatif agar pihak berwajib memperkasakan sistem Islam. Malaysia yang berada di ambang kemerdekaan kali ke-51 tahun, sudah mampu berdiri sendiri dengan keupayaan idealisme asli rakyat tempatan tanpa terlalu bergantung kepada orang luar. Apatah lagi, idea yang diguna pakai tersebut berasal dari golongan yang pernah menjajah bumi tercinta. Kita memahami bahawa tidak semua idea asing yang tidak boleh digunakan. Namun, dalam konteks Malaysia kini, penggunaan undang-undang tersebut memperlihatkan kesan penjajahan sistem yang mengatur Malaysia secara berterusan. Ini sudah pasti mengecewakan.

Akhirnya, penulis menyeru agar cadangan-cadangan yang ingin memperkasakan kedudukan Islam dan sistem Undang-undang Syariah wajar diperhatikan dan diambil berat. Apatah lagi berdasarkan hadith Rasulullah yang menggambarkan dunia kian hampir Kiamat dengan simbolik 2 jari. Mungkin, ia kelihatan lucu bagi mereka yang tidak mempercayainya, moga dihindarkan. Mudah-mudahan umat Islam di Malaysia sempat merasai sistem lengkap Islam secara syumul sebelum peluang itu ditutup buat selama-lamanya.

Wassalam


Artiekl ini juga disiarkan dalam akhbar online Mstar

No comments: