Badan NGO seperti Usrah Kebajikan Profesional (UKP) yang dianggotai graduan-graduan universiti tempatan ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan intelektualan dan tautan keilmuan di kalangan bekas mahasiswa negara. Ini sebagai usaha agar graduan yang meninggalkan tapak penerokaan dan penyebaran ilmu (universiti) tidak berlepas tangan dan tidak memperdulikan lagi keadaan dan corak pendidikan tempatan.
Badan ini menyedari tidak memiliki kuasa khas untuk mencampuri urusan pentadbiran dalaman sistem pendidikan. Namun, selaku rakyat yang mencintai negara sendiri, sudah pasti ingin memberi beberapa pandangan yang barangkali dapat dimanfaatkan. Jika ia terjadi, ia sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada golongan yang punya tanggungjawab kepada negara.
Rasanya belum terlambat bagi pihak UKP untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan Universiti Malaya ditabal sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang paling cemerlang di negara ini. Meskipun di peringkat saingan antarabangsa, universiti ini perlu diperkasakan lagi, kedudukan cemerlang ini tidak dapat dinafikan seperti yang didapati daripada hasil kajian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
UKP yang turut memiliki graduan-graduan universiti tersebut mengalu-alukan usaha berterusan pihak universiti hinggalah terpilih menjadi Universiti Apex berupa pengiktirafan kepada universiti tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi. Bahkan, ia menjadi perintis kepada pergerakan berterusan untuk menyaingi universiti-universiti bertaraf dunia.
Barangkali mempunyai kaitan dengan status itu, tahun ini menyaksikan pelbagai perubahan bagi universiti tempatan atau secara umum merujuk kepada sistem pendidikan negara. Dari peringkat sekecil-kecil perjalanan pentadbiran sehinggalah dasar yang digunakan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, 61 daripada 165 fasal yang terdapat dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dipinda.
Begitu juga Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) akan dipinda selaras dengan peningkatan kemajuan dan peranan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam negara yang akan membolehkan kewujudan peruntukan yang sama sebagaimana AUKU. Ia melibatkan aspek tanggungjawab dan hak pelajar yang jumlahnya kini menjangkau 340,000 di IPTS berbanding 360,000 pelajar di IPTA. Jumlah ini termasuk kemasukan pelajar asing di IPTS menjangkau 30,000 berbanding 10,000 di IPTA.
Selama ini, akta ini tidak dinafikan terdapat pro dan kontra apabila melibatkan hak dan kebebasan pelajar. Barangkali pindaan ini sedikit sebanyak akan meredakan sedikit rasa tidak puas hati di kalangan mahasiswa ketika merujuk Artikel 10 perlembagaan Malaysia yang menjamin hak untuk bersuara.
Timbul juga beberapa cadangan daripada beberapa tenaga akademik yang inginkan terma pindaan ini dilihat secara lebih jelas seperti pemilihan jawatan dalam pentadbiran universiti dan kewajaran mahasiswa dilarang berpolitik. Menurut mereka, terdapat double standard di antara mahasiswa dan golongan yang tiada gelaran itu dalam umur yang sebaya.
Mungkin wujud kebarangkalian pindaan ini tidak perlu, namun hasrat mereka agar perkara ini diambil perhatian adalah perlu lantaran niat baik mereka yang ingin menyumbang kepada pendidikan negara. Bahkan, ia dapat membuktikan lagi kebenaran titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang membidas tanggapan sempit kononnya kerajaan bersikap anti universiti atau universiti bersifat antikerajaan. Apatah lagi baginda juga menyambut baik langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ini. Dalam hal ini, titah baginda, kerajaan yang bijak akan menjadikan universiti sebagai rakan kongsi dalam membangunkan negara.
Melihat kepada suasana semasa, bulan ini menyaksikan universiti-universiti tempatan melaksanakan majlis tahunan iaitu konvokesyen bagi graduan yang berjaya menghabiskan tahap pengajian mereka. Ia sebagai simbolik gilang-gemilang yang hampir menyerupai majlis penganugerahan ijazah bersanad seperti yang diamalkan di pusat pengajian pondok dan amalan-amalan ulama di tanah Syam (seperti Syria, Jordan dan Lubnan).
Status graduan bukanlah bermakna ia menjadi noktah bermaksud tiada lagi proses pembelajaran. Apatah lagi ia bertentangan dengan kehendak agama yang menggesa agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Sudah pasti, seharusnya graduan menjaga survival pendidikan mereka secara praktikal dan dengan corak pengajian yang pelbagai. Malah, lebih digalakkan agar mereka meneruskan pengajian hingga ke tahap Master dan PhD jika berkemampuan.
Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semua graduan perlu mengembangkan ilmu yang diperoleh demi memajukan agama, bangsa dan negara. Baginda selaku Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL), bertitah graduan datang daripada masyarakat, maka kepada masyarakat jugalah sumbangan bakti ilmu itu perlu dikembalikan.
Akhirnya, UKP juga berhasrat mengambil bahagian dalam memberi sumbangan kepada negara ini menyeru agar segala pindaan, cadangan, desakan dan rayuan pelbagai pihak yang punya hak yang diiktiraf dalam perlembagaan dapat dipertimbangkan oleh semua pihak terutamanya ahli akademik, pakar pendidikan, cendekiawan Islam, tokoh negara dan pimpinan atasan. Tiada siapa yang lebih berhak dalam membincangkan perihal pembangunan insan berbentuk pemikiran dan kerohanian ini melainkan masyarakat yang diiktiraf kerakyatannya.
Wassalam.
Artikel ini juga disiarkan dalam Mstar Online
No comments:
Post a Comment