Friday, December 26, 2008

Benarkah Kebimbangan Terhadap PPSMI Berasas?


Assalamualaikum,


Saya sempat membaca buku tulisan cendekiawan Islam awal tahun 1900-an iaitu Abu A'la al-Maududi iaitu Wajib al-Shabab al-Muslim al-Yaum yang bererti 'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini'. Beliau menyentuh perihal situasi umat di era penjajahan dan memerlukan partisipasi dari golongan pemuda yang bakal menggalas warisan teraju negara. Tidak semestinya pada aspek politik semata-mata. Sebaliknya melibatkan semua bidang sama ada politik, ekonomi, aktivis masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Yang pasti, setiap bidang perlu diwarisi oleh golongan muda.


Apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah berhubung dengan peringatan tentang sesuatu yang perlu kita waspada. Seperti yang disentuh oleh cendekiawan tersebut, antara ancaman yang dihadapi dahulu ialah imperialisme atau kolonialisme. Fahaman ini cuba memastikan biarlah cahaya matahari tidak memancar melainkan ke atas tanah-tanah rampasan mereka. Mereka ingin menjadikan semua daratan yang memberi imbuhan lumayan menjadi milik mereka.


Namun, beliau mengingatkan suatu perkara yang agak ganjil iaitu rampasan tersebut bukanlah sejelik-jelik natijah. Hal ini kerana kezaliman yang lebih buruk ialah mereka melakukan terhadap kita dalam bentuk menaburkan racun-racun tamadun kebendaan, kebudayaan dan pengetahuan sains yang mengingkari kewujudan Tuhan dan moral akhlak yang runtuh.


Barangkali aspek-aspek spesifik yang perlu diambil perhatian iaitu beberapa strategi musuh yang mampu menggugat keteguhan pendirian umat Islam seperti yang digariskan oleh Abu A'la al-Maududi. Antaranya ialah:

PERTAMA: Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan. Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu.


KEDUA: Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu.


Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini. Barangkali aspek ini yang dibimbangi oleh beberapa ahli akademik berhubung dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

KETIGA: Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agung dan tamadun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikirannya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kaca mata materialisme barat.


Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.


Harapan sangat tinggi kepada pihak berkuasa, badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, cendekiawan-cendekiawan, ilmuwan akademik dan parti-parti politik dan golongan pelajar untuk bertindak memerah keringat memastikan pembelaan terhadap pegangan tradisi di Malaysia berkekalan.


Wassalam



Artikel ini juga disiarkan di dalam Utusan Malaysia

dan juga website Mahasiswakini

Monday, December 22, 2008

Dialog antara Agama dan Sekretariat Umara-Ulama


Assalamualaikum,

Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP), selaku NGO Islam mengalu-alukan segala usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memperkasa dan meningkatkan lagi kepakaran dalam aspek dialog antara agama dan kerjasama ulama dan negarawan dalam membangunkan negara. Perkembangan ini sudah pasti dapat disemarakkan lagi dengan hasrat murni yang dicetus iaitu ingin menubuhkan Sekretariat Dialog Antara Ulama dan Umara oleh pihak tertinggi dalam negara iaitu kerajaan sendiri.

Penulis melihat ini merupakan perkembangan sangat positif yang perlu diambil peluang oleh pendakwah tanah air untuk membantu dalam menjelaskan kepentingan hubungan erat dua pihak yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memakmur negara. Dalam melaksanakan hasrat ini, pihak berkuasa dicadangkan agar mendapatkan penglibatan dari kalangan ilmuwan di kalangan tenaga akademik dan ulama tidak formal di institusi pengajian pondok. Di samping iltizam kuat ahli politik.

Namun, barangkali terdapat beberapa kekangan seperti tiada keupayaan mengurus sikap ataupun masalah kepemilikan kepakaran dari aspek bidang ilmu. Penulis melihat, sekiranya wujud halangan sentimen beberapa perkara yang menyelubungi golongan ini, maka sudah tentu ia sukar dilaksanakan. Kita sudah pasti dapat memahami jika kita menyebut tentang sentimen kepelbagaian aliran pemikiran politik yang berkembang di tanah air kita dan juga tahap pengetahuan tentang bidang dialog antara agama dan kemahiran hubungan dua hala pemimpin dan ulama.

Ulama atau ahli akademik dalam bidang siasah syariah perlu diberi ruang dalam Sekretariat Dialog Antara Ulama dan Umara yang bakal ditubuhkan. Hal ini demikian kerana, menurut al-Juwaini, pengajian siasah merangkumi politik Islam dan kenegaraan. Sudah pasti mereka lebih mempunyai kepakaran. Penulis juga berpandangan bahawa, di samping ilmuwan yang mempunyai pengkhususan bidang tersebut, ilmuwan dalam bidang lain juga perlu dilibatkan kerana pengurusan dan hal ehwal negara melibatkan semua aspek yang memerlukan kepakaran dan nasihat para ulama.

Berhubung dengan hubungan keagamaan, menurut Profesor Dr Ibrahim Abu-Rabi', Pemegang Kerusi Edmonton Council of Muslim Communities (ECMC) dalam Pengajian Islam di Jabatan Sejarah dan Klasik, University of Alberta, Canada, tidak terdapat bilangan sarjana Islam yang mencukupi dalam bidang yang mahir berbincang dan berbicara mengenai pelbagai isu berkaitan dialog antara agama. Lebih ramai Muslim terutama di kalangan generasi muda, perlu dilatih dalam bidang dialog antara agama.

Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah (dua dari kanan di belakang), pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, didapati bahawa bidang ini tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masih belum mendapat tempat yang sepatutnya dan tidak popular dalam kerangka pendidikan di Malaysia sama ada di peringkat menengah, kolej mahupun lebih tinggi. Tokoh yang memahami persoalan dan sejarah agama lain serta sejarah pemikiran anutan falsafah sangat sukar ditemui. Kemahiran ini sangat perlu kerana ia melibatkan perbandingan dan persefahaman antara dasar-dasar kepercayaan dua pihak yang berdialog.

Akhirnya, bagi menjayakan hasrat ini dari aspek sokongan, idea dan perlaksanaan, Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP) yang turut diwakili sebilangan ilmuwan akademik dan tokoh negarawan bersama parti-parti politik dan NGO-NGO Islam yang lain, tidak akan keberatan untuk terlibat sama.

Sunday, December 14, 2008

PERSADA Bersama MB Kedah

Alor Star, 11 Disember: Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Y.A.B. Dato Seri Azizan Abd. Razak. Turut hadir ialah Y.B. Dr. Hamdan bin Khalib, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Pengarah Program Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha, Saudara Osman Fikhri bin Awang Mina, antara objektif program tersebut ialah untuk menghimpunkan dan memperkenalkan mahasiswa Kedah di bawah satu wadah, iaitu Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA). Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan mahasiswa dengan Kerajaan Negeri Kedah.

Mengulas berkenaan sambutan yang diberikan, Presiden Penaja PERSADA, Saudara Mohd Faisal bin Mustaffa

berkata, dengan jumlah hadirin seramai kira-kira 800 orang telah mencerminkan kesediaan golongan belia untuk turut sama menggembleng tenaga dan bekerjasama membantu Kerajaan Negeri Kedah dalam meningkatkan kemajuan dan pembangunan Negeri Kedah dalam segenap aspek. Beliau juga berharap PERSADA dapat bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri dengan menyalurkan sumbangan sama ada dalam bentuk idea, tenaga dan sokongan.

Hadirin yang datang ke program tersebut turut menerima pendedahan dan maklumat baru berkenaan perancangan dan pembangunan yang sedang direncanakan oleh Kerajaan Negeri. Di samping teguran dan suntikan semangat oleh MB Kedah. Majlis ini juga turut mempamerkan 3 piala kejayaan pasukan bola sepak kenari. Program yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu berakhir pada jam 2 petang.

Monday, December 1, 2008

Bersama Membantu Mangsa ISA



Baru-baru ini Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kegiatan kebajikan dan dakwah masyarakat telah mengadakan Program Majlis Makan Malam Amal UKP. Program ini dianjurkan bertujuan:

  1. Melancarkan dan mengumpul dana bagi Tabung Pendidikan Anak-anak Tahanan ISA.
  2. Melancarkan penjenamaan semula Usrah Kebajikan Profesional (UKP) ke arah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang konsisten, memupuk keperibadian Muslim dan melaksanakan usaha dakwah dan kebajikan kepada masyarakat.
  3. Menghimpun dan menyatukan profesional Muslim seluruh Malaysia yang menganggotai UKP ini.
  4. Mengumpul dana bagi menjalankan usaha-usaha kebajikan dan kegiatan yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam.

Pelancaran Tabung Pendidikan Anak-anak Tahanan ISA ini disempurnakan oleh Y.A.B Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Sebelum itu, beliau berkesempatan memberi ucapan yang benar-benar menyentuh hati bagi mereka yang memiliki hati yang tulus. Berikut adalah beberapa ungkapan kata-kata hikmah beliau:

  • Dunia ni laksana restoran, kita tumpang makan dan minum...akhirnya ada bayaran yang perlu kita langsaikan.
  • Manusia sekarang mudah membuat hukum, pandangan tanpa nilai ilmu. Sepatutnya kita bersedia dengan ilmu supaya hujah dapat menyelesaikan masalah. Bukan hujah menambah masalah .menyesatkan orang lain.
  • ISA perkara mungkar! wajib dilarang ! Tolong bersuara ! Tulislah artikel, lukislah kartun, demo kalau perlu..TULIS! ...CAKAP! ....

  • Kaitan ayat "wamahyaya wamamati"...wamahyaya bukan sekadar hidupku untuk Allah tetapi ayat tersebut diganti dengan aktivitiku. AKTIVITI termasuk dalam tujuan hidup kerana Allah.
  • Jangan jadi macam watak dalam cerita wayangkulit. ..Ada Dato',ada menteri, jadi ketua itu dan ini tapi jawatan itu hanya sampai 12 tengah malam saja. Semua watak tersebut berhenti tugasnya. Tiada usaha lain nak jadi hamba Allah.
  • Pengalaman ambo sendiri, bila anak ambo kena ISA 5-6 tahun...ambo pikir agaknya pemerintah ni nak ambo gi menyembah bagi lepas anak ambo..melutut. Tapi ambo tak gitu...biar ada dalam hati kita jiwa besar yang memikirkan...kat dunia ni mu buat anak aku, kat akhirat nanti , mu kena pijak-pijak dengan anakku..jadi jiwa kita akan kuat...RASA KUAT DENGAN ADANYA ALLAH..

Kesimpulannya: Tuan guru melahirkan rasa syukur pada Allah atas segala usaha kebaikan yang dapat memberi apa sahaja bantuan, dana untuk kebajikan, pendidikan dan kesihatan.

Bingkisan Presiden UKP mengenai Tuan Guru bila kaki beliau melangkah masuk ke dalam dewan Musytari, Residence Hotel, Kajang Selangor pada 8.26pm, 29 November 2008 :

"Tuan guru melangkah cermat, sambil tersenyum. Semua hadirin bangkit mengalunkan selawat buat junjungan Rasulallah SAW. Langkahnya tidak laju, badannya sedikit bongkok dan kejap-kejap kepalanya ditundukkan. ..gaya yang berhemah..terasa sebak di hati bilamana memikirkan baru berapa ketika, kita baca dalam berita seorang yang mulia itu pernah kelmarin terlantar sakit, rebah seketika ,kejap anggotanya.. namun kuatnya hati, teguhnya jiwa untuk ulama' itu berjumpa semua..entah sesiapa kita ini, tapi ulama' itu bukan kisah apa. Baginya, selagi dikurniakan kudrat, selagi nafas belum terhenti, perjalanan nya harus diteruskan.. ."

Semoga segala usaha yang dilaksanakan diredai Allah. Segala bantuan boleh dihulurkan kepada:

Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia
BIMB 12065010021129
MAYBANK 512352206682

Mohd Hasrul Bin Shuhari

Setiausaha UKP