Monday, December 22, 2008

Dialog antara Agama dan Sekretariat Umara-Ulama


Assalamualaikum,

Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP), selaku NGO Islam mengalu-alukan segala usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memperkasa dan meningkatkan lagi kepakaran dalam aspek dialog antara agama dan kerjasama ulama dan negarawan dalam membangunkan negara. Perkembangan ini sudah pasti dapat disemarakkan lagi dengan hasrat murni yang dicetus iaitu ingin menubuhkan Sekretariat Dialog Antara Ulama dan Umara oleh pihak tertinggi dalam negara iaitu kerajaan sendiri.

Penulis melihat ini merupakan perkembangan sangat positif yang perlu diambil peluang oleh pendakwah tanah air untuk membantu dalam menjelaskan kepentingan hubungan erat dua pihak yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memakmur negara. Dalam melaksanakan hasrat ini, pihak berkuasa dicadangkan agar mendapatkan penglibatan dari kalangan ilmuwan di kalangan tenaga akademik dan ulama tidak formal di institusi pengajian pondok. Di samping iltizam kuat ahli politik.

Namun, barangkali terdapat beberapa kekangan seperti tiada keupayaan mengurus sikap ataupun masalah kepemilikan kepakaran dari aspek bidang ilmu. Penulis melihat, sekiranya wujud halangan sentimen beberapa perkara yang menyelubungi golongan ini, maka sudah tentu ia sukar dilaksanakan. Kita sudah pasti dapat memahami jika kita menyebut tentang sentimen kepelbagaian aliran pemikiran politik yang berkembang di tanah air kita dan juga tahap pengetahuan tentang bidang dialog antara agama dan kemahiran hubungan dua hala pemimpin dan ulama.

Ulama atau ahli akademik dalam bidang siasah syariah perlu diberi ruang dalam Sekretariat Dialog Antara Ulama dan Umara yang bakal ditubuhkan. Hal ini demikian kerana, menurut al-Juwaini, pengajian siasah merangkumi politik Islam dan kenegaraan. Sudah pasti mereka lebih mempunyai kepakaran. Penulis juga berpandangan bahawa, di samping ilmuwan yang mempunyai pengkhususan bidang tersebut, ilmuwan dalam bidang lain juga perlu dilibatkan kerana pengurusan dan hal ehwal negara melibatkan semua aspek yang memerlukan kepakaran dan nasihat para ulama.

Berhubung dengan hubungan keagamaan, menurut Profesor Dr Ibrahim Abu-Rabi', Pemegang Kerusi Edmonton Council of Muslim Communities (ECMC) dalam Pengajian Islam di Jabatan Sejarah dan Klasik, University of Alberta, Canada, tidak terdapat bilangan sarjana Islam yang mencukupi dalam bidang yang mahir berbincang dan berbicara mengenai pelbagai isu berkaitan dialog antara agama. Lebih ramai Muslim terutama di kalangan generasi muda, perlu dilatih dalam bidang dialog antara agama.

Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah (dua dari kanan di belakang), pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, didapati bahawa bidang ini tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masih belum mendapat tempat yang sepatutnya dan tidak popular dalam kerangka pendidikan di Malaysia sama ada di peringkat menengah, kolej mahupun lebih tinggi. Tokoh yang memahami persoalan dan sejarah agama lain serta sejarah pemikiran anutan falsafah sangat sukar ditemui. Kemahiran ini sangat perlu kerana ia melibatkan perbandingan dan persefahaman antara dasar-dasar kepercayaan dua pihak yang berdialog.

Akhirnya, bagi menjayakan hasrat ini dari aspek sokongan, idea dan perlaksanaan, Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP) yang turut diwakili sebilangan ilmuwan akademik dan tokoh negarawan bersama parti-parti politik dan NGO-NGO Islam yang lain, tidak akan keberatan untuk terlibat sama.

No comments: