Assalamualaikum,
Saya sempat membaca buku tulisan cendekiawan Islam awal tahun 1900-an iaitu Abu A'la al-Maududi iaitu Wajib al-Shabab al-Muslim al-Yaum yang bererti 'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini'. Beliau menyentuh perihal situasi umat di era penjajahan dan memerlukan partisipasi dari golongan pemuda yang bakal menggalas warisan teraju negara. Tidak semestinya pada aspek politik semata-mata. Sebaliknya melibatkan semua bidang sama ada politik, ekonomi, aktivis masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Yang pasti, setiap bidang perlu diwarisi oleh golongan muda.
Apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah berhubung dengan peringatan tentang sesuatu yang perlu kita waspada. Seperti yang disentuh oleh cendekiawan tersebut, antara ancaman yang dihadapi dahulu ialah imperialisme atau kolonialisme. Fahaman ini
Namun, beliau mengingatkan suatu perkara yang agak ganjil iaitu rampasan tersebut bukanlah sejelik-jelik natijah. Hal ini kerana kezaliman yang lebih buruk ialah mereka melakukan terhadap kita dalam bentuk menaburkan racun-racun tamadun kebendaan, kebudayaan dan pengetahuan sains yang mengingkari kewujudan Tuhan dan moral akhlak yang runtuh.
Barangkali aspek-aspek spesifik yang perlu diambil perhatian iaitu beberapa strategi musuh yang mampu menggugat keteguhan pendirian umat Islam seperti yang digariskan oleh Abu A'la al-Maududi. Antaranya ialah:
PERTAMA: Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan. Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu.
KEDUA: Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu.
Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini. Barangkali aspek ini yang dibimbangi oleh beberapa ahli akademik berhubung dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
KETIGA: Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agung dan tamadun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikirannya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kaca mata materialisme barat.
Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.
Harapan sangat tinggi kepada pihak berkuasa, badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, cendekiawan-cendekiawan, ilmuwan akademik dan parti-parti politik dan golongan pelajar untuk bertindak memerah keringat memastikan pembelaan terhadap pegangan tradisi di Malaysia berkekalan.
Wassalam
Artikel ini juga disiarkan di dalam Utusan Malaysia
dan juga website Mahasiswakini
No comments:
Post a Comment