Thursday, July 9, 2009
Pesanan Sheikh Mustafa Masyhur: Apabila Gerakan Dakwah Diuji Dengan Kemenangan
Para pendokong dakwah, biasanya mampu menghadapi bukit-bukit rintangan yang telah lalu yang berupa penolakan manusia, persendaan mereka serta gangguan dan penentangan mereka.
Kekuatan, kemahuan dan jiwa mereka tidak pernah lemah dan luntur walaupun menghadapi kesusahan hidup, kerosakan dan keburukan suasana serta pelbagai gangguan dan penindasan dari pihak yang menentang dakwah.
Sehingga akhirnya Allah menghapuskan kesusahan, kesulitan dan meringankan tekanan dan
gangguan sama ada seluruhnya atau sebahagian daripadanya. Biasanya pertolongan Allah ini akan mengurangi kepayahan dan keletihan serta menimbulkan kerehatan dan kelapangan untuk ketenangan saraf dan ketenteraman jiwa demi memperbaharui kegiatan dan kecergasan.
Di sinilah lahirnya pula satu bukit halangan yang tidak terduga. Ketenangan jiwa, ketenteraman warna suasana penuh kerehatan dan kelapangan kadang-kadang melalaikan kita, lantas kita menyerah kepadanya dan terus terlelap dan enak di dalamnya. Terutamanya apabila kerehatan dan kelapangan itu disertai oleh kemewahan atau kesenangan hidup.
(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)
Kadang-kadang orang yang terdedah kepada bentuk rintangan seperti ini akan mencari-cari dan mereka-reka berbagai alasan untuk membenarkan tindakannya yang tidak sesuai dengan harakah dan merugikan dakwah Islam dan jihad. Sikap ini hanyalah semata-mata bertujuan untuk mengurangkan tekanan jiwa lawwamahnya (jiwa yang menyesali).
Akhirnya kerehatan dan kelapangan yang terbuka itu menjadi sempurna tanpa sebarang tekanan. Oleh kerana itu, pendokong dakwah yang benar janjinya kepada Allah dan benar niatnya untuk berdakwah dan telah menjual dirinya dan hartanya kepada Allah, mestilah menyedari dan menginsafi perkara ini dan hendaklah berterusan melepasi rintangan demi rintangan tanpa tersangkut dan tersungkur padanya.
Saudara-saudaranya pula mestilah menarik tangannya dan menolongnya untuk bangkit
kembali meneruskan jihad dan perjuangannya di jalan Allah. Dakwah Islam sentiasa memerlukan usaha dan tenaga yang semaksima supaya bidang dakwah sentiasa subur dan mekar. Alhamdulillah. Kemenangan dan kelapangan yang terluang tadi hanyalah merupakan alat (peluang) untuk memperbaharui kekuatan dan kegiatan baru.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah" Al-A'raaf (7):58
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment