Thursday, August 20, 2009

Imam Nawawi: Maksud Sebenar Ungkapan Imam Syafie "Hadis Sohih Adalah Mazhabku" ialah...

Makam Imam Nawawi RahimahuLllah Ta'ala

Imam Nawawi telah menjelaskan maksud sebenar tentang ungkapan Imam Syafie iaitu "Hadis Sohih adalah Mazhabku" di dalam kitabnya yakni al-Majmu'. Penjelasannya adalah seperti berikut:

عن الشافعي رحمه الله انه قال إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا قولى: وروي عنه إذا صح الحديث خلاف قولى فاعملوا بالحديث واتركوا قولى أو قال فهو مذهبي وروى هذا المعنى بالفاظ مختلفة


Imam Syafie berkata: Jika kamu semua mendapati di dalam kitabku ada pendapat yang menyalahi Sunnah Rasulullah S.A.W maka berkatalah (berilah pendapat kamu semua) dengan Sunnah Rasulullah S.A.W dan kamu tinggalkanlah pendapatku.” Diriwayatkan juga Bahawa Imam Syafie berkata: Apabila terdapat hadis sohih yang bercanggah dengan kata-kataku maka beramallah dengan hadis tersebut dan tinggalkanlah pendapatku atau itulah mazhabku. Riwayat ni ada banyak lafaz tapi masih makna yang sama.


وهذا الذى قاله الشافعي ليس معناه ان كل أحد رأى حديثا صحيحا قال هذا مذهب الشافعي وعمل بظاهره: وانما هذا فيمن له رتبة الاجتهاد في المذهب على ما تقدم من صفته أو قريب منه: وشرطه أن يغلب على ظنه أن الشافعي رحمه الله لم يقف على هذا الحديث أو لم يعلم صحته: وهذا انما يكون بعد مطالعة كتب الشافعي كلها ونحوها من كتب أصحابه الآخذين عنه وما أشبهها وهذا شرط صعب قل من ينصف به: وانما اشترطوا ما ذكرنا لان الشافعي رحمه الله ترك العمل بظاهر أحاديث كثيرة رآها وعلمها لكن قام الدليل عنده على طعن فيها أو نسخها أو تخصيصها أو تأويلها أو نحو ذلك

Kata-kata Imam Syafie ini bukanlah bermaksud sesiapa sahaja yang menjumpai hadis sohih maka boleh terus anggap ia mazhab Imam Syafie itu dan beramal secara zahir. Tetapi sebenarnya pendapat Imam Syafie ini ditujukan kepada para ulama yang telah sampai kepada peringkat ijtihad di dalam mazhab seperti yang telah disebut sebelum ini atau hampir-hampir memenuhi syarat ijtihad.

Syarat untuk mereka yang menyangka bahawa Imam Syafie rahimahuLllah tidak berjumpa dengan hadis ini atau tidak mengetahui bahawa hadis ini sohih ialah tidak lain melainkan setelah mengkaji keseluruhan kitab-kitab karangan Imam Syafie, dan yang seumpama dengannya melalui kajian kitab-kitab para ulama Syafi'iyyah yang lain dan yang hampir ke arah itu. Syarat ini agak sukar, hanya sedikit yang mampu menyempurnakan syarat ini.

Sesungguhnya syarat-syarat yg disebut tadi diletakkan sebegitu rupa kerana Imam Syafie tidak beramal dengan hadis tertentu meskipun beliau tahu hadis itu sahih, adalah setelah beliau memberi hujah tentang hadis tersebut pada sudut kritikan, atau sebab hadis itu dinasakhkan atau hadis itu ditakhsiskan atau ditakwil dan seumpamanya.


قال الشيخ أبو عمرو رحمه الله ليس العمل بظاهر ما قاله الشافعي بالهين فليس كل فقيه يسوغ له أن يستقل بالعمل بما يراه حجة من الحديث وفيمن سلك هذا المسلك من الشافعيين من عمل بحديث تركه الشافعي رحمه الله عمدا مع علمه بصحته لمانع اطلع عليه وخفى على غيره كابى الوليد موسى بن ابي الجارود ممن صحب الشافعي قال صح حديث افطر الحاجم والمحجوم فأقول قال الشافعي افطر الحاجم والمحجوم فردوا ذلك على ابى الوليد لان الشافعي تركه مع علمه بصحته لكونه منسوخا عنده وبين الشافعي نسخه واستدل عليه وستراه في كتاب الصيام ان شاء الله تعالى

Menurut Sheikh Abu 'Amru rahimahuLlah:

“Bukanlah semudah itu beramal dengan zahir semata-mata seperti yang disebut oleh Imam Syafie. Bukanlah semua ulama yang Faqih boleh beramal secara terus daripada hadis yang dilihat sebagai hujah baginya. Dan sesiapa yang mengikuti kaedah ini (iaitu kaedah: jika jumpa hadis sohih maka itu mazhabku) di kalangan ulama Syafi'iyyah yang ingin beramal dengan hadis yang ditinggalkan oleh Imam Syafie secara sengaja dan beliau mengetahui bahawa hadis itu sohih dan Imam Syafie tidak beramal adalah kerana beliau tahu sebab-sebabnya yang tidak diketahui oleh orang lain."

Contohnya, Abu al-Walid Musa bin Abu al-Jarud yang merupakan salah seorang sahabat Imam Syafie telah berkata bahawa hadis tentang hukum batal puasa seseorang yang melakukan bekam adalah hadis sohih. Sedangkan sebenarnya Imam Syafie tidak beramal dengan hadis tersebut kerana hadis tersebut telah dimansukhkan dengan hadis yang lain walaupun Imam Syafie tahu taraf kesahihan hadis tersebut. Imam Syafie terangkan perkara ini seperti yang ada di dalam bab puasa.

وقد قدمنا عن ابن خزيمة انه قال لا أعلم سنة لرسول الله صلى الله عليه وسلم في الحلال والحرام لم يودعها الشافعي كتبه وجلالة ابن خزيمة وامامته في الحديث والفقه ومعرفته بنصوص الشافعي بالمحل المعروف: قال الشيخ أبو عمرو فمن وجد من الشافعية حديثا يخالف مذهبه نظرنا كملت آلات الاجتهاد فيه مطلقا: أو في ذلك الباب أو المسألة كان له الاستقلال بالعمل به وان لم يكن وشق عليه مخالفة الحديث بعد ان بحث فلم يجد لمخالفته عنه جوابا شافيا فله العمل به ان كان عمل به امام مستقل غير الشافعي ويكون هذا عذرا له في ترك مذهب امامه هنا


Menurut Ibn Khuzaymah, diakui bahawa Imam Syafie telah menjelaskan secara terperinci tentang halal dan haram. Ibn Khuzaymah merupakan tokoh fekah dan hadis yang terkenal dan beliau mengetahui serba serbi tentang keilmuan Imam Syafie.


Kata Sheikh Abu 'Amru : “ Jika seorang ulama Syafi'iyyah tersebut menjumpai sebuah hadis yang bertentangan dengan mazhab yang dipegangnya, dan kelihatannya mereka telah mencapai peringkat ijtihad atau sangat arif dalam satu-satu bab atau satu-satu permasalahan maka tiadalah masalah baginya untuk beramal dengan hadis tersebut.

Tetapi jika dia masih tidak mampu mencapai tahap ijtihad dan sukar baginya memahami tentang apa yang bercanggah hadis tersebut setelah mengkajinya dan tidak juga mendapati jawapan yang lengkap maka bolehlah baginya beramal dengan hadis tersebut jika terdapat ulama lain yang bertaraf Imam Mujtahid selain Imam Syafie (seperti Imam Hanafi, Maliki dan Hanbali) yang turut beramal dengannya.”


Rujukan:

al-Nawawi, Abu Zakariya Muhyiddin (t.t.), Al-Majmu' Sharh al-Muhazzab, Juz. 1, Dar al-Fikr, CD Maktabah Shamilah, edisi 2, h. 63.
(kalau berkesempatan, penulis akan uploadkan matan kitab bercetak, Insya Allah)

No comments: