Wednesday, November 18, 2009

Kedah Sejahtera: Perkembangan Ekonomi Darul Aman


Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Y.A.B Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah menggariskan beberapa keperluan baru bagi meningkatkan ekonomi Negeri Kedah serta kebajikan terhadap rakyat.

Dalam sesi ucapan ketika membentangkan Bajet 2010, terdapat beberapa perkara penting yang menjadi nadi pengurusan ekonomi yang cekap dan baik oleh kerajaan negeri Kedah antaranya :

* Sehingga Ogos 2009, Kedah menerima kelulusan pelaburan berjumlah RM 837, 345, 329 iaitu merupakan negeri kelima mendapat pelaburan teringgi di Malaysia selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

* Pengurangan hasil tanah berikutan langkah kerajaan memberi rebet kepada hasil tanah sebanyak 50% berjaya ditampung melalui peningkatan hasil di bidang-bidang berikut :

•Kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM 19 juta tahun ini kerana usaha penguatkuasaan dan pengurusan yang rapi oleh Pejabat-Pejabat Tanah.
•Kenaikan hasil balak daripada RM 8 juta setahun sebelum ini kepada RM35 juta pada tahun 2009 kerana polisi atau dasar tender terbuka yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri.
•Dividen atas sumbangan daripada 11 buah GLC kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 30 juta. Inilah pembayaran yang pertama kali diterima oleh Kerajaan Negeri selepas usaha-usaha penyusunan semula GLC berjaya meningkatkan aktiviti dan keuntungan setiap GLC.
•Bagi tahuan 2009, Kerajaan Negeri masih menunggu pembayaran daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 40 juta yang sepatutnya telah dibayar sebelum Oktober setiap tahun.
•Amalan perancangan dan pengurusan ekonomi oleh Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul bertepatan dengan Sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah begitu kasih apabila salah seorang daripada kamu melakukan amalan atau perbuatan dan ia lakukannya dengan betul, tepat dan cermat".

* Kerajaan memperkenalkan polisi bahawa tanah pertanian akan dikekalkan untuk pertanian sahaja.

* Satu program baru akan dilancarkan tahun 2010 iaitu program Merakyatkan Akuakultur. Kerajaan akan menyediakan insentif atau modal awalan kepada usahawan tani tempatan untuk menceburi secara komersial ternakan ikan keli dan ikan talapia di Negeri Kedah. Usahawan-usahawan ini akan dibantu oleh GLC iaitu Kedah Agro Akuakultur Sdn. Bhd. secara "contract farming". Sejumlah RM 1 juta telah disediakan pada tahun 2010.

* Defisit di dalam Bajet 2010 adalah berjumlah RM16.1 juta atau 3.16% berbanding defisit tahun 2009 sebanyak RM17.53 juta atau 3.47%.


Selain memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi Negeri Kedah, Bajet 2010 turut menekankan terhadap pembangunan dan kesejahtera rakyat secara komited. Perkara-perkara penting yang diberi penekanan dalam sesi ucapan Bajet 2010 adalah seperti :

* Usaha memperkasakan Maktab Mahmud sebagai Institusi pelajaran milik kerajaan negeri di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang merupakan lambang kebanggaan negeri sejak zaman berzaman akan diteruskan.

* Kerajaan Negeri telah menetapkan dasar untuk menukar pinjaman kepada biasiswa.

* Kerajaan Negeri berusaha membentuk golongan remaja yang memiliki pengetahuan, berperibadi mulia dan berakhlak unggul selaras dengan adab dan tatasusila masyarakat Malaysia. Selaras dengan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan kem Bina Sahsiah di kalangan pelajar sekolah menengah pada setiap cuti akhir tahun. Selain itu Kerajaan Negeri memohon kerjasama jabatan-jabatan yang terlibat membantu membenteras kegiatan yang kurang sihat seperti berikut:

•Pihak berkuasa tempatan memperketatkan proses pengeluaran lesen premis perniagaan yang berunsur negatif.
•Polis memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pusat-pusat hiburan.
•Jabatan Agama Islam memperkasakan aktiviti pencegahan maksiat.
•Kerajaan Negeri berharap agar pihak Pemaju Perumahan Negeri Kedah supaya membina lebih banyak rumah untuk keperluan penduduk Kedah, bukannya membina rumah berharga tinggi untuk mencari keuntungan semata-mata.

•Bagi membela keluarga termiskin yang memerlukan bantuan rumah, Kerajaan melaksanakan program membina rumah untuk keluarga termiskin mulai akhir tahun 2009.

•Kepada Insan yang kurang upaya dan yang memerlukan bantuan, Kerajaan memperuntukkan bantuan sara hidup sebanyak RM13.575 juta atau tambahan sebanyak RM975 ribu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
•Mulai tahun 2010, satu program baru yang dikenali sebagai Skim Kifalah Kedah akan dilancarkan. Menerusi skim ini, Kerajaan memberi sumbangan sebanyak RM500.00 bagi pengurusan jenazah seorang warga emas di dalam kategori termiskin tanpa mengira agama atau kaum. Langkah ini dibuat bagi meringankan beban keluarga yang termiskin. Kerajaan Negeri sedang merangka mekanisma penyaluran bantuan kepada pihak yang terlibat. Polisi ini menepati dengan ajaran Islam dimana digalakkan kita membantu setiap insan yang tidak berupaya.
•Maksud Hadis 1:
"Allah S.W T. akan menolong hamba-Nya sebagaimana hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya"
•Maksud Hadis 2:
"Kasihilah kamu setiap makhluk yang berada di muka bumi nescaya aku akan dikasihi setiap yang berada di langit"

•Maksud Hadis 3:
"Barangsiapa yang tidak mengasihi orang nescaya dia tidak akan dikasihi oleh orang lain"
* Kedah merupakan negeri yang pertama menandatangani perjanjian dengan syarikat pengurusan kutipan sampah dan pelupusan sisa pepejal.

Perkara ini merupakan antara beberapa perkara penting yang digariskan oleh Y.A.B Menteri Besar Kedah ketika sesi Ucapan bajet 2010 yang dibentangkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.

*Bagi mendapatkan Ucapan Bajet 2010, sila layari laman web Kedah Sejahtera di

http://www.kedahsejahtera.com.my
Kedah Communication & Events Sdn. Bhd. (KCE)

No comments: