Friday, December 26, 2008

Benarkah Kebimbangan Terhadap PPSMI Berasas?


Assalamualaikum,


Saya sempat membaca buku tulisan cendekiawan Islam awal tahun 1900-an iaitu Abu A'la al-Maududi iaitu Wajib al-Shabab al-Muslim al-Yaum yang bererti 'Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini'. Beliau menyentuh perihal situasi umat di era penjajahan dan memerlukan partisipasi dari golongan pemuda yang bakal menggalas warisan teraju negara. Tidak semestinya pada aspek politik semata-mata. Sebaliknya melibatkan semua bidang sama ada politik, ekonomi, aktivis masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. Yang pasti, setiap bidang perlu diwarisi oleh golongan muda.


Apa yang ingin penulis bangkitkan di sini ialah berhubung dengan peringatan tentang sesuatu yang perlu kita waspada. Seperti yang disentuh oleh cendekiawan tersebut, antara ancaman yang dihadapi dahulu ialah imperialisme atau kolonialisme. Fahaman ini cuba memastikan biarlah cahaya matahari tidak memancar melainkan ke atas tanah-tanah rampasan mereka. Mereka ingin menjadikan semua daratan yang memberi imbuhan lumayan menjadi milik mereka.


Namun, beliau mengingatkan suatu perkara yang agak ganjil iaitu rampasan tersebut bukanlah sejelik-jelik natijah. Hal ini kerana kezaliman yang lebih buruk ialah mereka melakukan terhadap kita dalam bentuk menaburkan racun-racun tamadun kebendaan, kebudayaan dan pengetahuan sains yang mengingkari kewujudan Tuhan dan moral akhlak yang runtuh.


Barangkali aspek-aspek spesifik yang perlu diambil perhatian iaitu beberapa strategi musuh yang mampu menggugat keteguhan pendirian umat Islam seperti yang digariskan oleh Abu A'la al-Maududi. Antaranya ialah:

PERTAMA: Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan. Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu.


KEDUA: Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu.


Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini. Barangkali aspek ini yang dibimbangi oleh beberapa ahli akademik berhubung dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

KETIGA: Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agung dan tamadun mereka yang hebat. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikirannya sehingga cara-cara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kaca mata materialisme barat.


Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.


Harapan sangat tinggi kepada pihak berkuasa, badan-badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan, cendekiawan-cendekiawan, ilmuwan akademik dan parti-parti politik dan golongan pelajar untuk bertindak memerah keringat memastikan pembelaan terhadap pegangan tradisi di Malaysia berkekalan.


Wassalam



Artikel ini juga disiarkan di dalam Utusan Malaysia

dan juga website Mahasiswakini

Monday, December 22, 2008

Dialog antara Agama dan Sekretariat Umara-Ulama


Assalamualaikum,

Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP), selaku NGO Islam mengalu-alukan segala usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memperkasa dan meningkatkan lagi kepakaran dalam aspek dialog antara agama dan kerjasama ulama dan negarawan dalam membangunkan negara. Perkembangan ini sudah pasti dapat disemarakkan lagi dengan hasrat murni yang dicetus iaitu ingin menubuhkan Sekretariat Dialog Antara Ulama dan Umara oleh pihak tertinggi dalam negara iaitu kerajaan sendiri.

Penulis melihat ini merupakan perkembangan sangat positif yang perlu diambil peluang oleh pendakwah tanah air untuk membantu dalam menjelaskan kepentingan hubungan erat dua pihak yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memakmur negara. Dalam melaksanakan hasrat ini, pihak berkuasa dicadangkan agar mendapatkan penglibatan dari kalangan ilmuwan di kalangan tenaga akademik dan ulama tidak formal di institusi pengajian pondok. Di samping iltizam kuat ahli politik.

Namun, barangkali terdapat beberapa kekangan seperti tiada keupayaan mengurus sikap ataupun masalah kepemilikan kepakaran dari aspek bidang ilmu. Penulis melihat, sekiranya wujud halangan sentimen beberapa perkara yang menyelubungi golongan ini, maka sudah tentu ia sukar dilaksanakan. Kita sudah pasti dapat memahami jika kita menyebut tentang sentimen kepelbagaian aliran pemikiran politik yang berkembang di tanah air kita dan juga tahap pengetahuan tentang bidang dialog antara agama dan kemahiran hubungan dua hala pemimpin dan ulama.

Ulama atau ahli akademik dalam bidang siasah syariah perlu diberi ruang dalam Sekretariat Dialog Antara Ulama dan Umara yang bakal ditubuhkan. Hal ini demikian kerana, menurut al-Juwaini, pengajian siasah merangkumi politik Islam dan kenegaraan. Sudah pasti mereka lebih mempunyai kepakaran. Penulis juga berpandangan bahawa, di samping ilmuwan yang mempunyai pengkhususan bidang tersebut, ilmuwan dalam bidang lain juga perlu dilibatkan kerana pengurusan dan hal ehwal negara melibatkan semua aspek yang memerlukan kepakaran dan nasihat para ulama.

Berhubung dengan hubungan keagamaan, menurut Profesor Dr Ibrahim Abu-Rabi', Pemegang Kerusi Edmonton Council of Muslim Communities (ECMC) dalam Pengajian Islam di Jabatan Sejarah dan Klasik, University of Alberta, Canada, tidak terdapat bilangan sarjana Islam yang mencukupi dalam bidang yang mahir berbincang dan berbicara mengenai pelbagai isu berkaitan dialog antara agama. Lebih ramai Muslim terutama di kalangan generasi muda, perlu dilatih dalam bidang dialog antara agama.

Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah (dua dari kanan di belakang), pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, didapati bahawa bidang ini tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masih belum mendapat tempat yang sepatutnya dan tidak popular dalam kerangka pendidikan di Malaysia sama ada di peringkat menengah, kolej mahupun lebih tinggi. Tokoh yang memahami persoalan dan sejarah agama lain serta sejarah pemikiran anutan falsafah sangat sukar ditemui. Kemahiran ini sangat perlu kerana ia melibatkan perbandingan dan persefahaman antara dasar-dasar kepercayaan dua pihak yang berdialog.

Akhirnya, bagi menjayakan hasrat ini dari aspek sokongan, idea dan perlaksanaan, Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP) yang turut diwakili sebilangan ilmuwan akademik dan tokoh negarawan bersama parti-parti politik dan NGO-NGO Islam yang lain, tidak akan keberatan untuk terlibat sama.

Sunday, December 14, 2008

PERSADA Bersama MB Kedah

Alor Star, 11 Disember: Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Y.A.B. Dato Seri Azizan Abd. Razak. Turut hadir ialah Y.B. Dr. Hamdan bin Khalib, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah.

Menurut Pengarah Program Himpunan Mahasiswa dan Ijtima’ Aidiladha, Saudara Osman Fikhri bin Awang Mina, antara objektif program tersebut ialah untuk menghimpunkan dan memperkenalkan mahasiswa Kedah di bawah satu wadah, iaitu Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA). Selain itu, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan mahasiswa dengan Kerajaan Negeri Kedah.

Mengulas berkenaan sambutan yang diberikan, Presiden Penaja PERSADA, Saudara Mohd Faisal bin Mustaffa

berkata, dengan jumlah hadirin seramai kira-kira 800 orang telah mencerminkan kesediaan golongan belia untuk turut sama menggembleng tenaga dan bekerjasama membantu Kerajaan Negeri Kedah dalam meningkatkan kemajuan dan pembangunan Negeri Kedah dalam segenap aspek. Beliau juga berharap PERSADA dapat bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri dengan menyalurkan sumbangan sama ada dalam bentuk idea, tenaga dan sokongan.

Hadirin yang datang ke program tersebut turut menerima pendedahan dan maklumat baru berkenaan perancangan dan pembangunan yang sedang direncanakan oleh Kerajaan Negeri. Di samping teguran dan suntikan semangat oleh MB Kedah. Majlis ini juga turut mempamerkan 3 piala kejayaan pasukan bola sepak kenari. Program yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu berakhir pada jam 2 petang.

Monday, December 1, 2008

Bersama Membantu Mangsa ISA



Baru-baru ini Persatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kegiatan kebajikan dan dakwah masyarakat telah mengadakan Program Majlis Makan Malam Amal UKP. Program ini dianjurkan bertujuan:

  1. Melancarkan dan mengumpul dana bagi Tabung Pendidikan Anak-anak Tahanan ISA.
  2. Melancarkan penjenamaan semula Usrah Kebajikan Profesional (UKP) ke arah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang konsisten, memupuk keperibadian Muslim dan melaksanakan usaha dakwah dan kebajikan kepada masyarakat.
  3. Menghimpun dan menyatukan profesional Muslim seluruh Malaysia yang menganggotai UKP ini.
  4. Mengumpul dana bagi menjalankan usaha-usaha kebajikan dan kegiatan yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam.

Pelancaran Tabung Pendidikan Anak-anak Tahanan ISA ini disempurnakan oleh Y.A.B Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Sebelum itu, beliau berkesempatan memberi ucapan yang benar-benar menyentuh hati bagi mereka yang memiliki hati yang tulus. Berikut adalah beberapa ungkapan kata-kata hikmah beliau:

  • Dunia ni laksana restoran, kita tumpang makan dan minum...akhirnya ada bayaran yang perlu kita langsaikan.
  • Manusia sekarang mudah membuat hukum, pandangan tanpa nilai ilmu. Sepatutnya kita bersedia dengan ilmu supaya hujah dapat menyelesaikan masalah. Bukan hujah menambah masalah .menyesatkan orang lain.
  • ISA perkara mungkar! wajib dilarang ! Tolong bersuara ! Tulislah artikel, lukislah kartun, demo kalau perlu..TULIS! ...CAKAP! ....

  • Kaitan ayat "wamahyaya wamamati"...wamahyaya bukan sekadar hidupku untuk Allah tetapi ayat tersebut diganti dengan aktivitiku. AKTIVITI termasuk dalam tujuan hidup kerana Allah.
  • Jangan jadi macam watak dalam cerita wayangkulit. ..Ada Dato',ada menteri, jadi ketua itu dan ini tapi jawatan itu hanya sampai 12 tengah malam saja. Semua watak tersebut berhenti tugasnya. Tiada usaha lain nak jadi hamba Allah.
  • Pengalaman ambo sendiri, bila anak ambo kena ISA 5-6 tahun...ambo pikir agaknya pemerintah ni nak ambo gi menyembah bagi lepas anak ambo..melutut. Tapi ambo tak gitu...biar ada dalam hati kita jiwa besar yang memikirkan...kat dunia ni mu buat anak aku, kat akhirat nanti , mu kena pijak-pijak dengan anakku..jadi jiwa kita akan kuat...RASA KUAT DENGAN ADANYA ALLAH..

Kesimpulannya: Tuan guru melahirkan rasa syukur pada Allah atas segala usaha kebaikan yang dapat memberi apa sahaja bantuan, dana untuk kebajikan, pendidikan dan kesihatan.

Bingkisan Presiden UKP mengenai Tuan Guru bila kaki beliau melangkah masuk ke dalam dewan Musytari, Residence Hotel, Kajang Selangor pada 8.26pm, 29 November 2008 :

"Tuan guru melangkah cermat, sambil tersenyum. Semua hadirin bangkit mengalunkan selawat buat junjungan Rasulallah SAW. Langkahnya tidak laju, badannya sedikit bongkok dan kejap-kejap kepalanya ditundukkan. ..gaya yang berhemah..terasa sebak di hati bilamana memikirkan baru berapa ketika, kita baca dalam berita seorang yang mulia itu pernah kelmarin terlantar sakit, rebah seketika ,kejap anggotanya.. namun kuatnya hati, teguhnya jiwa untuk ulama' itu berjumpa semua..entah sesiapa kita ini, tapi ulama' itu bukan kisah apa. Baginya, selagi dikurniakan kudrat, selagi nafas belum terhenti, perjalanan nya harus diteruskan.. ."

Semoga segala usaha yang dilaksanakan diredai Allah. Segala bantuan boleh dihulurkan kepada:

Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia
BIMB 12065010021129
MAYBANK 512352206682

Mohd Hasrul Bin Shuhari

Setiausaha UKP

Saturday, September 20, 2008

Apabila YDP Agung Menunjukkan Kuasanya

Assalamualaikum...

Apa kata kita masuk isu politik sekejap...Rasanya isu yang paling panas kini ialah pertukatan kepimpinan negara...Tak kira sapa-sapa pun yang berjaya dilantik, Islam perlu dipertahankan...

Di sini saya ingin petik pendapat seorang pakar undang-undang yang mengulas isu ini...Sumber asal: http://www.waubebas.org/

Oleh: Professor Dr. Abdul Aziz Bari.

Cara Datuk Seri Abdullah Badawi menjawab soalan-soalan pemberita mengenai Dato Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini menunjukan bahawa beliau memandang serius cabaran Ketua Pembangkang itu. Sebelum ini Abdullah biasanya berkata bahawa Anwar hanya bergimik apabila mendakwa bahawa beliau mempunyai cukup bilangan ahli parlimen yang akan melompat ke Pakatan Rakyat, lantas membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Tetapi mutakhir ini Abdullah telah bertukar nada. Anwar telah dituduh sebagai pengancam keselematan dan ekonomi negara. Tuduhan ini membayangkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin akan digunapakai. Jelas sekali kerajaan kini merasa tergugat. Selain cabaran daripada Anwar, parti pemerintah juga digugat oleh perebutan kuasa dalaman. Jika kita lihat reaksi beberapa menteri terhadap penggunaan ISA baru-baru ini, tidak mustahil jika kita katakan bahawa Abdullah tidak lagi dapat mengawal sepenuhnya kabinet beliau.

Negara kita boleh dianggap sebagai menghampiri situasi krisis. Dalam waktu sebegini, kita memerlukan sesuatu yang mungkin kelihatan sedikit ‘di luar perlembagaan’ (extra-constitutional) untuk menangani keadaan. Cara-cara biasa mungkin tidak berkesan, terutama kerana kerajaan seolah-olah telah panik dan kelihatan tidak lagi berkebolehan untuk menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong dan mengendalikan tugas-tugas biasa dalam pentadbiran.

Negara kita berbeza dengan Thailand dan Indonesia kerana kita tidak mempunyai Mahkamah Perlembagaan untuk dirujuk. Biasanya kita merujuk kepada Mahkamah Persekutuan tetapi sepanjang 51 tahun lepas Mahkamah Persekutuan tidak pernah membicarakan perlanggaran perlembagaan. Dan, berbeza dengan Mahkamah Agong Amerika Syarikat yang telah beberapa kali membicarakan kontroversi-kontroversi berkaitan perlembagaan, Mahkamah Persekutuan kita tidak langsung dirujuk semasa krisis perlembagaan pada tahun 1983, 1988 dan 1993. Mungkin ini merupakan tempias daripada kurangnya keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kebolehan hakim-hakim kita.

Maka kita tinggal dengan satu sahaja pilihan iaitu Yang Di-Pertuan Agong. Yang Di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai beberapa peranan dan kuasa khusus yang boleh digunapakai dalam situasi sekarang. Baginda boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membincangkan apa sahaja perkara yang dirasakan perlu.

Masalah yang sedang kita alami sekarang berkisar di sekeliling isu perlantikan kerajaan, yang dalam bahasa perlembagaan sebenarnya ialah isu perlantikan perdana menteri. Perlembagaan memberikan tanggungjawab ini kepada Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan budi bicara Baginda.

Dalam situasi yang terang, contohnya jika terdapat majoriti di parlimen dan ketua yang jelas, maka Yang Di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan selain daripada melantik ketua tersebut sebagai perdana menteri dan seterusnya menerima nasihat perdana menteri dalam urusan pembentukan kabinet. Ini boleh berlaku selepas pilihanraya umum, kematian perdana menteri semasa masih memegang jawatan, ataupun setelah berlaku perletakan jawatan perdana menteri.

Perletakan jawatan boleh berlaku dengan beberapa bentuk. Contohnya perletakan jawatan biasa seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Dalam konteks negeri dan peranan sultan negeri tersebut pula, kita boleh melihat contoh yang berlaku setelah Dewan Undangan Negeri tidak lagi menyokong Menteri Besar mereka seperti yang dialami oleh Menteri Besar Selangor Harun Idris pada tahun 1976 dan Menteri Besar Kelantan Mohamed Nasir pada tahun 1977.

Tetapi perlembagaan negara kita tidak mempunyai klausa yang jelas dalam isu perletakan jawatan. Satu-satunya peruntukan yang menyentuh isu perletakan jawatan ialah Artikel 43(4) yang menyebut bahawa mana-mana perdana menteri yang kehilangan sokongan dewan rakyat perlu meletak jawatan. Tetapi perlembagaan kita tidak menyebut mengenai proses menarik balik sokongan terhadap perdana menteri. Ini telah dimanipulasi oleh UMNO dan Barisan Nasional. Speaker Dewan Rakyat seolah-olah berusaha keras untuk menafikan usaha Pakatan Rakyat membawa usul tidak percaya di parlimen.

Apa peranan Yang Di-Pertuan Agong dalam situasi sekarang? Berdasarkan undang-undang, Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan. Hakikatnya, walaupun tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan, Baginda perlu memastikan wujud sebuah kerajaan pada setiap masa. Seterusnya, jika terdapat persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini. Kita tidak boleh bergantung dengan kerajaan sedia ada tatkala kesahihan kerajaan tersebut sendiri sedang dipertikaikan.

Mungkin jika kita mengikut protokol dengan ketat maka Anwar tidak boleh ke Istana Negara sekarang. Dengan itu, Yang Di-Pertuan Agong sewajarnya menjemput Ketua Pembangkang tersebut untuk mengadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa akan menyokong beliau dalam kerajaan baru. Yang Di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk mendengar secara terus daripada ahli-ahli parlimen tersebut, sama seperti mana Sultan Selangor dan Raja Perlis telah memanggil mengadap ahli-ahli dewan undangan negeri mereka selepas pilihanraya Mac lalu.

Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong mendapati dakwaan Anwar adalah benar dan Anwar memang mempunyai sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen, maka Baginda boleh menitahkan agar Abdullah meletak jawatan. Bukan sahaja Abdullah boleh dititahkan untuk meletak jawatan, bahkan dalam situasi sedemikian, berdasarkan undang-undang, perletakan jawatan menjadi tanggungjawab Abdullah dan kabinetnya.

Jika diteliti perlembagaan asal yang dihasilkan oleh Lord Reid, sebenarnya memang terdapat peruntukan yang membolehkan Yang Di-Pertuan Agong memecat perdana menteri dalam situasi sedemikian. Tetapi peruntukan ini tidak dimasukkan dalam draf akhir yang diluluskan menjadi perlembagaan negara kita. Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa Yang Di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah ini.

Artikel 43(4) juga menyentuh mengenai pembubaran parlimen. Tetapi Artikel ini perlu dibaca dengan Artikel 40(2)(b) yang memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan budi bicara dalam menentukan sama ada perlu atau tidak parlimen dibubarkan setelah diminta oleh perdana menteri. Berdasarkan pengalaman negara-negara Komanwel, Suruhanjaya Reid mengatakan bahawa terdapat beberapa sebab kenapa pembubaran parlimen perlu diserahkan kepada budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, antaranya ialah untuk mengelakkan negara kita dipaksa mengulangi pilihanraya berkali-kali oleh kerajaan yang tidak stabil.

Jika kita teliti semula situasi sekarang, maka bagi saya tidak ada keperluan bagi Yang Di-Pertuan Agong membubarkan parlimen walaupun diminta. Kita baru sahaja menjalankan pilihanraya umum pada Mac 2008 dan kita boleh membentuk kerajaan tanpa perlu satu lagi pilihanraya.

**Professor Dr. Abdul Aziz Bari ialah Professor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa


Thursday, August 28, 2008

Pemerkasaan Sistem Pendidikan Negara Tanggungjawab Semua.

Assalamualaikum,

Badan NGO seperti Usrah Kebajikan Profesional (UKP) yang dianggotai graduan-graduan universiti tempatan ditubuhkan atas dasar menyedari kepentingan hubungan intelektualan dan tautan keilmuan di kalangan bekas mahasiswa negara. Ini sebagai usaha agar graduan yang meninggalkan tapak penerokaan dan penyebaran ilmu (universiti) tidak berlepas tangan dan tidak memperdulikan lagi keadaan dan corak pendidikan tempatan.

Badan ini menyedari tidak memiliki kuasa khas untuk mencampuri urusan pentadbiran dalaman sistem pendidikan. Namun, selaku rakyat yang mencintai negara sendiri, sudah pasti ingin memberi beberapa pandangan yang barangkali dapat dimanfaatkan. Jika ia terjadi, ia sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada golongan yang punya tanggungjawab kepada negara.

Rasanya belum terlambat bagi pihak UKP untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan Universiti Malaya ditabal sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang paling cemerlang di negara ini. Meskipun di peringkat saingan antarabangsa, universiti ini perlu diperkasakan lagi, kedudukan cemerlang ini tidak dapat dinafikan seperti yang didapati daripada hasil kajian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

UKP yang turut memiliki graduan-graduan universiti tersebut mengalu-alukan usaha berterusan pihak universiti hinggalah terpilih menjadi Universiti Apex berupa pengiktirafan kepada universiti tempatan yang menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi. Bahkan, ia menjadi perintis kepada pergerakan berterusan untuk menyaingi universiti-universiti bertaraf dunia.

Barangkali mempunyai kaitan dengan status itu, tahun ini menyaksikan pelbagai perubahan bagi universiti tempatan atau secara umum merujuk kepada sistem pendidikan negara. Dari peringkat sekecil-kecil perjalanan pentadbiran sehinggalah dasar yang digunakan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, 61 daripada 165 fasal yang terdapat dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dipinda.

Begitu juga Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) akan dipinda selaras dengan peningkatan kemajuan dan peranan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam negara yang akan membolehkan kewujudan peruntukan yang sama sebagaimana AUKU. Ia melibatkan aspek tanggungjawab dan hak pelajar yang jumlahnya kini menjangkau 340,000 di IPTS berbanding 360,000 pelajar di IPTA. Jumlah ini termasuk kemasukan pelajar asing di IPTS menjangkau 30,000 berbanding 10,000 di IPTA.

Selama ini, akta ini tidak dinafikan terdapat pro dan kontra apabila melibatkan hak dan kebebasan pelajar. Barangkali pindaan ini sedikit sebanyak akan meredakan sedikit rasa tidak puas hati di kalangan mahasiswa ketika merujuk Artikel 10 perlembagaan Malaysia yang menjamin hak untuk bersuara.

Timbul juga beberapa cadangan daripada beberapa tenaga akademik yang inginkan terma pindaan ini dilihat secara lebih jelas seperti pemilihan jawatan dalam pentadbiran universiti dan kewajaran mahasiswa dilarang berpolitik. Menurut mereka, terdapat double standard di antara mahasiswa dan golongan yang tiada gelaran itu dalam umur yang sebaya.

Mungkin wujud kebarangkalian pindaan ini tidak perlu, namun hasrat mereka agar perkara ini diambil perhatian adalah perlu lantaran niat baik mereka yang ingin menyumbang kepada pendidikan negara. Bahkan, ia dapat membuktikan lagi kebenaran titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang membidas tanggapan sempit kononnya kerajaan bersikap anti universiti atau universiti bersifat antikerajaan. Apatah lagi baginda juga menyambut baik langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ini. Dalam hal ini, titah baginda, kerajaan yang bijak akan menjadikan universiti sebagai rakan kongsi dalam membangunkan negara.

Melihat kepada suasana semasa, bulan ini menyaksikan universiti-universiti tempatan melaksanakan majlis tahunan iaitu konvokesyen bagi graduan yang berjaya menghabiskan tahap pengajian mereka. Ia sebagai simbolik gilang-gemilang yang hampir menyerupai majlis penganugerahan ijazah bersanad seperti yang diamalkan di pusat pengajian pondok dan amalan-amalan ulama di tanah Syam (seperti Syria, Jordan dan Lubnan).

Status graduan bukanlah bermakna ia menjadi noktah bermaksud tiada lagi proses pembelajaran. Apatah lagi ia bertentangan dengan kehendak agama yang menggesa agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Sudah pasti, seharusnya graduan menjaga survival pendidikan mereka secara praktikal dan dengan corak pengajian yang pelbagai. Malah, lebih digalakkan agar mereka meneruskan pengajian hingga ke tahap Master dan PhD jika berkemampuan.

Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semua graduan perlu mengembangkan ilmu yang diperoleh demi memajukan agama, bangsa dan negara. Baginda selaku Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL), bertitah graduan datang daripada masyarakat, maka kepada masyarakat jugalah sumbangan bakti ilmu itu perlu dikembalikan.

Akhirnya, UKP juga berhasrat mengambil bahagian dalam memberi sumbangan kepada negara ini menyeru agar segala pindaan, cadangan, desakan dan rayuan pelbagai pihak yang punya hak yang diiktiraf dalam perlembagaan dapat dipertimbangkan oleh semua pihak terutamanya ahli akademik, pakar pendidikan, cendekiawan Islam, tokoh negara dan pimpinan atasan. Tiada siapa yang lebih berhak dalam membincangkan perihal pembangunan insan berbentuk pemikiran dan kerohanian ini melainkan masyarakat yang diiktiraf kerakyatannya.

Wassalam.


Artikel ini juga disiarkan dalam Mstar Online

Peluang Pemerkasaan Undang-undang Islam Wajar Segera Diambil.


Assalamualaikum,

Beberapa hari yang lalu kita dikejutkan dengan penganjuran forum yang mencurigakan lantaran terdapat ura-ura untuk menyentuh sensitiviti umat Islam. Antara permasalahan yang ditimbulkan ialah kes memeluk Islam dan sebagainya. Penulis tidak ingin mengulas secara lebih lanjut tentang forum tersebut kerana sudah banyak penulisan ilmiah yang telah memperkatakannya sebelum ini. Bagi penulis, ia jelas menunjukkan umat Islam di negara ini paling tidak, masih punya kepekaan terhadap kedudukan Islam.

Dalam masa yang sama, perlu diakui bahawa situasi semasa memerlukan pemerkasaan kedudukan Islam yang lebih jelas. Turut dibangkitkan sebelum ini ialah hukuman lama yang berasaskan akronim 356 iaitu hukuman maksimum tempoh tiga tahun penjara, denda berbentuk kewangan sehingga RM5,000 serta hukuman enam sebatan. Konsep pencegahan dalam Islam perlu dipandang berat kerana di samping mendidik, Islam juga secara qat'i menetapkan atau mewajibkan hukuman bagi kategori jenayah tertentu yang perlu berdasarkan Islam. Justeru, adalah salah jika ada yang berpendapat Islam tidak mengambil peduli terhadap jenayah.

Namun, penulis mendapati kecenderungan beberapa pendapat yang kelihatan ganjil kerana apabila beberapa ilmuan Islam yang menyeru dan memberi pendapat tentang pemerkasaan hukuman jenayah Syariah, terdapat pula qaul doif (pendapat lemah), bahkan boleh dikategorikan menghina Islam. Hal ini demikian kerana, mereka menganggap hukuman tersebut tidak adil, hukuman bersifat menghukum yang tidak mendidik, sudah lapuk dan sebagainya.

Tanpa niat buruk, secara insaf penulis kecewa kerana terdapat pertubuhan yang mempersoalkan sistem hukuman yang telah dirangka ulama Islam. Bahkan, terdapat di kalangan pemimpin yang bergelar YB (tanpa merujuk kepada sesiapa) yang tidak yakin dengan sistem ini secara terang-terang apabila melibatkan kes rogol, zina dan sebagainya. Ini belum lagi termasuk sistem-sistem Islam yang lain seperti ekonomi dan sebagainya. Yang lebih mengejutkan, terdapat pensyarah di universiti yang masyhur di Malaysia dengan angkuh mengatakan beliau lebih suka memilih sistem konvensional berbanding sistem Islam.

Penulis sangat bersetuju apabila kerajaan senantiasa berhasrat mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Apatah lagi, apabila terdapat kesediaan di kalangan pakar-pakar undang-undang untuk meminda atau buat penambahan bagi melengkapkan lagi undang-undang Syariah. Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Muhammad Asri Abdullah mencadangkan pindaan tersebut. Masa kini dilihat sesuai lebih-lebih lagi sudah lebih dua dekad Akta Mahkamah Syariah 1984 diguna tanpa pindaan.

Usaha ini perlu diteruskan lantaran Islam memiliki kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Malaysia. Di dalam perlembagaan, selain Perkara 11(4), Perkara 12(2) dan Perkara 12(3), jelas dinyatakan bahawa di bawah Perkara 3 : (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ia dikukuhkan lagi apabila Yang di-Pertuan Agong adalah ketua bagi agama Islam di negara kita. Kuasa sultan tidak dapat dinafikan dalam menjaga kedudukan Islam, apatah lagi kuasa itu dapat dilihat dalam menyelesaikan permasalahan pemilihan jawatan menteri besar di beberapa negeri.

Setahun lalu, terdapat suara insaf yang mencadangkan supaya rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil. Penulis melibatkan cadangan tersebut ekoran pada masa yang dama terdapat idea alternatif agar pihak berwajib memperkasakan sistem Islam. Malaysia yang berada di ambang kemerdekaan kali ke-51 tahun, sudah mampu berdiri sendiri dengan keupayaan idealisme asli rakyat tempatan tanpa terlalu bergantung kepada orang luar. Apatah lagi, idea yang diguna pakai tersebut berasal dari golongan yang pernah menjajah bumi tercinta. Kita memahami bahawa tidak semua idea asing yang tidak boleh digunakan. Namun, dalam konteks Malaysia kini, penggunaan undang-undang tersebut memperlihatkan kesan penjajahan sistem yang mengatur Malaysia secara berterusan. Ini sudah pasti mengecewakan.

Akhirnya, penulis menyeru agar cadangan-cadangan yang ingin memperkasakan kedudukan Islam dan sistem Undang-undang Syariah wajar diperhatikan dan diambil berat. Apatah lagi berdasarkan hadith Rasulullah yang menggambarkan dunia kian hampir Kiamat dengan simbolik 2 jari. Mungkin, ia kelihatan lucu bagi mereka yang tidak mempercayainya, moga dihindarkan. Mudah-mudahan umat Islam di Malaysia sempat merasai sistem lengkap Islam secara syumul sebelum peluang itu ditutup buat selama-lamanya.

Wassalam


Artiekl ini juga disiarkan dalam akhbar online Mstar

Tuesday, July 22, 2008

Pelajar Malaysia Cemerlang di Syria?

(Klik pada gambar untuk paparan lebih besar)
Assalamualaikum...

Sekarang ni tengah cuti lagi sebelum mula belajar daurah bahasa Arab di Mujamma' Abu Nour...Daurah ni ada 6 peringkat, 1 hingga 4 belajar pada waktu pagi, 5 dan 6 sebelah petang...Sebelah malam takde, tak macam kuliah di beberapa tempat di Malaysia yang ada sesi malam.

Daurah ni memberi ilmu tentang nahu, sorof, imlak, kemahiran menjawab soalan teks, kemahiran berbual, buat karangan...Kira takde beza sangat dengan sistem Malaysia kot..Bezanya full cakap bahasa Arab, bahkan pelajar diajar untuk menerangkan teks di hadapan kelas...Kira dapat jadi guru juga la di sana...Orang tanya kita jawab..

Ada juga sesi muhadasah, iaitu guru bagi satu isu untuk dibincangkan sesama pelajar...Ada juga style bercerita dalam kelas setelah perbincangan..Bahkan yang paling mencabar juga, kena bagi khutbah atau tazkirah selepas solat...Memang pengalaman manis ni...

Dalam kelas, nak sembang dengan jinsiyyah (bangsa) lain, memang kena bahasa Arab la...sedikit sebanyak dapat improve speaking in arabic language...Tapi 2 bulan di Syria tak cukup, kena lebih seperti yang dinasihatkan oleh Sheikh Tawfiq dan Sheikh Wahbah..

Dalam kelas, guru ajar sangat pantas, lebih2 lagi bila berada di mustawa (peringkat) 6..Ni peringkat tertinggi dalam daurah..Alhamdulillah, dapat masuk peringkat ni...Cuma memang laju...kekadang tak dapat tangkap...kena tanya jinsiyyah lain semula la...Ni kalau tak ulang kaji balik ilmu yang diajar, memang tak lama la dalam kepala ni...

Seperti yang diberitahu sebelum ni, kami dah habis exam, sekarang tengah cuti pun...Result dah keluar..Alhamdulillah...kira hampir semua mustawa daurah dikuasai oleh pelajar Malaysia...4 dari 6 peringkat dalam daurah tu, pelajar yang dapat Mumtaz adalah dari Malaysia...Bahkan ada yang dapat Mumtaz full 100%, tak salah satu pun...Saya berpeluang bersembang dengan beliau..Pelajar dari Kedah, pendiam orangnya, memang saya dapat 'rasa' semangat ingin belajar beliau...

Daurah pun dah habis...Kini tengah ambil daurah di Ma'had Tahzib...Nak khatamkan kitab nahu iaitu syarah kitab Qatrunnada...Lepas ni, belajar kitab Sorof pula..Insya Allah sebelum balik dapat khatamkan 2 kitab asas bahasa Arab ni...Ada juga rancangan nak belajar kitab Ibn 'Aqil, kitab nahu...Kalau dapat habiskan satu jilid pun jadilah sebelum tiba hari pulang ke Malaysia...

Terfikir juga, hebatkah jika hanya cemerlang dalam imtihan ni...Pelajar lelaki UM yang berkursus 2 bulan berjaya kuasai mustawa tertinggi dalam daurah...Pelajar wanita Malaysia dari UM pula dikatakan pelajar ketiga terbaik dalam mustawa 4...Persoalannya, benarkah ini memadai?

Apa pun, pelajar Malaysia sudah buktikan mereka dapat mengatasi pelajar-pelajar jinsiyyah lain...Cuma, nak tengok kebolehan bercakap dan beramal je..Ada beza tu antara cemerlang dalam imtihan dan cemerlang dalam beramal...Mampu atau tidak?
Wassalam.

Kenalan Mujamma' Abu Nour dan Penganut Syiah

Assalamualaikum…

Ketika belajar di Mujamma' Abu Nour, saya ambil daurah yakni kursus bahasa Arab selama lebih kurang 2 bulan…Kira muat2 untuk jadual asal seperti yang termaktub dalam perancangan program pengajian di bumi Anbiya Syria ni…

Di sini berpeluang untuk berkenalan dengan pelbagai jinsiyyah (bangsa) seperti Amerika, Britain, Iran, Chechnya, China, Negara bekas Soviet Union…entah saya dah tak ingat nama Negara yang ada bunyi tan tan kat belakang tu…kira banyak la dapat tambah kenalan…

Dapat kongsi pandangan dengan diorang…Antaranya, camne China sekarang yang umat Islamnya sukar untuk beramal dengan ilmu Islam mereka…Pengajian pun kena cover2 juga...Risau dengan tindakan kerajaan di sana...Ulama dan guru2 agama memang kena bersedia la apa tindakan yang akan diterima kelak….

Dapat juga kongsi maklumat tentang Syiah. Saya berpeluang melawat di kawasan mereka...Kawasan yang dikatakan tempat mereka tunaikan Haji...Pada Hari Asyura, sana akan jadi tempat tumpuan penganut Syiah hingga berdarah-darah..Bukan darah binatang tapi darah manusia...Ni berdasarkan senior2 yang bagitau la...Wallahua'lam..

Kawasan yang saya maksudkan ni ialah Sayyidah Zainab....Saya tengok suasana yang sangat berbeza dengan Sunni...Mereka meratapi di sisi kubur cucu Nabi SAW tersebut...Kubur tersebut akan dibuat dinding untuk kawasan wanita dan lelaki...Semua menangis kecuali saya dan kekawan yang melawat kat sana...Kami Bukan Syiah ya!!!

Cara mereka bersolat juga berbeza, selain mereka membolehkan Jamak dan Qasar solat meskipun tidak musafir, mereka juga bersujud di atas batu kecil(lihat contoh batu di hadapan mereka pada gambar di bawah)...Mereka tidak digalakkan bersujud di atas sejadah seperti Sunni...Menurut ilmu yang saya belajar di UM tentang ajaran Syiah, sujud di atas sejadah akan merosakkan dahi manusia...Bagi mereka, batu yang paling afdol (terbaik) adalah batu dari Karbala...Tempat pembunuhan keluarga Rasulullah SAW itu...

Saya juga berpeluang bersembang dengan penganut Syiah...Dia orang Iran, sedang nak ambil Master dalam bidang Usuluddin. Masa solat, dia tak guna batu tapi guna tisu, mungkin sebagai ganti batu kot...Dia berasa pelik camne Sunni boleh terima para Sahabat kesemuanya...Hujahnya para munafik ramai yang tidak diketahui pada zaman Rasulullah...Kemungkinan terdapat munafik di kalangan sahabat Rasullullah SAW...

Saya membalas, terdapat Hadith yg menerangkan Nabi ada beritau senarai nama kaum munafik kepada Sahabat...klu tak silap Huzaifah ra namanya...Jadi, sifat para sahabat yang adil akan terjamin setelah Rasulullah membongkar nama mereka...Hinggakan Sayyidina Umar berasa gelisah adakah ia termasuk juga dlm senarai nama tu...Alhamdulillah, ia dinafikan oleh sahabat tersebut....

Isu peperangan antara para sahabat juga dibangkitkan...Penganut Syiah ni bertanya bagaimana sahabat dikatakan adil jika mereka saling berbunuhan...Nabi melarang memaki sahabat, jadi logiknya berbunuhan lagi dilarang...

Saya mengatakan bahawa terdapat sebab lain di atas peperangan ni seperti Sayyidatina Aisyah dan Sayyidina Ali...antaranya terdapat golongan yang cuba memecahbelahkan dua sahabat ni...Mereka merancang untuk mewujudkan peperangan antara 2 sahabat mulia ni iaitu golongan Abdullah bin Saba...Wallahua'lam....Yang penting di sini, banyak ilmu yang perlu dipelajari agar kita dapat menjawab kekeliruan yang timbul...Serangan terhadap Rasulullah saw, para sahabat, al-Quran dan Hadith, para ulama perlu dihadapi dengan sebaiknya...

Saya akui, bila berhadapan dengan hujah mereka, banyak maklumat yang dipelajari di universiti dulu dah hilang...Alangkah mulianya ulama yang mampu mempertahankan Islam dari serangan musuh-musuh seperti Sheikh Al-Buti, Sheikh al-Qardhawi, Sheikh Wahbah, Sheikh Ahmad Deedat,...Tak lupa juga ulama yang agak2 macam dilupakan je sekarang ni iaitu ulama dalam sistem pengajian pondok di Nusantara ni...

Wassalam.

Sheikh Said Ramadhan al-Buti, Anaknya dan Bahasa Arab.

Assalamualaikum…

Hari ni Selasa, bertarikh 22 Tammuz (Julai) 2008 bersamaan 19 Rejab 1429 Hijrah..Hari ni takde kuliah Sheikh Said Ramadhan al-Buti (yg tengah) di Jamik Iman..Khabarnya beliau musafir seminggu..Dalam jadual, beliau sepatutnya menyampaikan kuliah tentang kitabnya bertajuk La Ya'tihi al-Batil…

Beliau menjawab segala kekeliruan yang timbul berkenaan dengan dasar-dasar dan ajaran Islam..Minggu lepas beliau sentuh tentang ayat-ayat Syaitan yang ditohmahkan oleh musuh-musuh Islam…

Al-Buti seorang ulama yang tegas…Antara isu paling kecil, beliau tak suka diambil gambar dalam masjid..Bahkan pernah beliau tegur secara 'live' dengan mengatakan lebih kurang macam ni: apa gunanya ambil gambar dan lebih baik keluar dari masjid…

Ayat ni berdasarkan 'sanad-sanad' senior yang belajar di Syria...Yang saya pernah perhatikan, beliau memang pernah tegur salah seorang jemaah yang ambil gambar dengan handset…Kebetulan waktu tu saya tengah 'curi-curi' nak ambil gambar beliau, lepas tu terus tak jadi.

Anaknya lain sedikit, Sheikh Tawfiq Ramadhan al-Buti (keempat dari kiri,klik pd gmbar utk paparan lebih jelas)...Beliau mengajar kitab fekah dan kitab muamalah pada setiap hari Jumaat dan Sabtu di Jamik al-Buti..Saya berpeluang bertalaqqi kitab tulisan beliau iaitu Buyu' Syai'...Banyak istilah muamalah yang sukar difahami…Masih belum layak ajar orang lain lagi la ertinya….

Pernah berjumpa secara berdepan dengan beliau Alhamdulillah..Mesra orangnya…Pandai buat lawak juga la…Pernah beliau kata lebih kurang maksud macam ni: Sapa cakap selain dari bahasa Arab, denda 10 lira (dalam 70 sen la)…Beliau pensyarah di Jamiah Dimasyq (Universiti Damsyiq)…

Rata-rata ulama seperti Sheikh Wahbah al-Zuhaili (paling kanan berjambang, klik utk paparan besar) dan Sheikh Tawfiq menyatakan tak cukup belajar bahasa Arab sekadar 2 Bulan di Syria…Sepatutnya tinggal lebih lama di bumi para Nabi ni…Alhamdulillah, di Syria, rata-rata masyarakat sangat menghormati bahasa fushah (bahasa Arab baku), bukan bahasa 'Ami (bahasa pasar Arab)…

Berbanding Mesir, ada yang memerli jika kita cakap bahasa fushah, orang Arab akan balas SadaqAllah al-'Azhim…Tak pasti betul tidak..Ni berdasarkan mereka yang belajar di sana..Apa pun yang penting, segala peluang perlu digunakan, tak kira di mana…Belajar di tempat sehebat mana pun, tak sampai ke mana jika tak bersungguh….

Tinggal lagi sebulan setengah je lagi sebelum kaki menjejak Malaysia…Insya Allah, segala peluang belajar di sini takkan dilepaskan…Wassalam.

Thursday, July 10, 2008

Takkan Setakat Cium Je?

Assalamualaikum...

Hari ni bertarikh 11 julai 2008 bersamaan 8 rejab 1429, hari jumaat. Saya baru habis talaqqi kitab matan Abi Syuja', sebuah kitab fekah mazhab Syafie..Dah masuk bab nikah, kekawan dah mula tersenyum dan bersemangat...rasa masing-masing dah faham apa sebabnya..

Lagi 3 hari semua sahabat yang datang bersama akan berangkat pulang ke Malaysia...dah hampir 2 bulan kami bertalaqqi, berkursus bahasa Arab, bersiar-siar dan sebagainya bersama...Sekejap saja dah nak balik, tapi alhamdulillah, saya dapat tangguh tiket hampir 2 bulan lagi...rasa tak puas kalau nak balik Malaysia dgn meninggalkan negera yang kaya dengan ulama.

Rasa bertuah sebab dapat bertalaqqi dengan ulama seperti Sheikh Said Ramadhan al-Buti, Sheikh Tawfiq Ramadhan (anak al-Buti), Sheikh Mustafa Dib al-Bugho, Sheikh Wahbah al-Zuhaili, Sheikh Nuruddin Itir...Sebelum ni sheikh2 musafir hingga rasa tak sedap hati je sebab tak dapat talaqqi dgn mereka...sekarang dah balik, kuliah akan berjalan seperti biasa insya Allah.

Kebetulan hari ni hari jumaat, ada kuliah Sheikh Said Ramadhan al-Buti di jamiknya iaitu Jamik al-Buti..Beliau akan mengajar kitab tasawuf iaitu Risalah Qusyairiyyah lepas asar ni, Insya Allah..Bila fikir pasal ulama ni, kagum dengan ketegasan mereka, antaranya ada yang tak suka tangan mereka dicium seperti Sheikh al-Buti dan Sheikh Wahbah(gambar sedang beri kuliah Tafsir Wajiz)....Ada yg izin seperti Sheikh al-Bugho...Saya pun berpeluang mencium tangannya...rasa bangga juga la...

Tapi takkan setakat cium je kan? Insya Allah, ilmu yang diwarisi akan dimanfaat..
Wassalam

Wednesday, July 2, 2008

Kenangan Manis Bersama Ulama


Assalamualaikum...

Hari ini hari rabu bertarikh 2 Julai 1985 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1429....Alhamdulillah dapat juga ruangkan masa untuk menulis di ruangan blog yang baru berusia dalam 5 hari ni.

Saya baru lepas hadapi peperiksaan bahasa Arab di Mujamma' Abu Nour...Hamdan lillah dapat jawab, puas hati juga la...markah lain kira la kot...cuma tak pasti dapat praktikkan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar kedua dgn baik ja.

Bahasa Arab bahasa Syurga dan bahasa perantaraan antara Allah dengan hamba-hambanya melalui al-Quran...Dengan bahasa ni, mudahlah nak faham al-Quran dan Hadith...Ni antara beberapa isi tasjik ringkas dari ulama kontemporari Syria iaitu Sheikh Wahbah al-Zuhaili bertempat di masjid yang beliau selalu beri kuliah tafsir...

Seronok berpeluang bertemu muka dengan beliau....sempat juga bertanya beberapa persoalan antaranya pandangan beliau tentang ungkapan ISLAM HADHARI, tentang 3 kitab tafsir beliau, mengenai sebab Sheikh Said Ramadhan al-Buti tak dapat masuk Arab Saudi...

Kekawan lain ada tanya tentang peranan syabab (pemuda), isu salafi dan karya terbaru beliau...Insya Allah rakaman pertemuan akan jadi kenangan manis lebih manis dari duk merendek (dating) dgn awek.....Alhamdulillah mudah berurusan dengan beliau meskipun sibuk sangat dgn jadual hayah yaumiyyan...

Dlm al-Quran ada kaedah yg perlu difahami. Saya dah beli kitab hadith yg menampilkan i'rab nahu. Di Syria ni, saya baru jumpa kitab i'rab al-Quran...Malaysia mungkin ada, cuma sudah pasti lebih mahal....mudahan, kitab ni dapat bantu dlm fahami Kalam Ilahi dan Pertuturan manusia maksum s.a.w insya Allah.

Tapi, jangan salah faham, bukan sekadar ni je cara nak faham al-Quran...banyak lagi yg perlu diperlajari..Terfikir lagi..alangkah kerdilnya ilmu di dada...dalam uslub arab ada ungkapan takjub....Ma aqalla ilmi...alangkah sikitnya ilmu daku...rasanya betul kot ayat ni, lepas berlajar dlm kelas Arab sebelum ni...Wassalam

Saturday, June 28, 2008

Bermulalah Blog Daku

Assalamualaikum...

Kekawan kekadang duk tanya juga..ada buat blog tak? Sambil tersenyum, kekadang saya balas berubah-ubah seperti sibuk, malas, tak dak masa dan seumpamanya bagi merelevenkan alasan ni...niat nak buat memang ada...

Kekadang kekawan duk berharap agar buat blog...sebab inilah antara jalan dakwah di muka bumi di samping medium-medium lain..inilah antara sumbangan walaupun sedikit cuma, sebelum kita tak sempat berdakwah 'buat selama-lamanya', Na'uzubillah...

Saya terfikir..apa gunanya ilmu jika tidak diamalkan, apa guna ilmu jika tidak disampaikan, apa guna ilmu jika tidak dihayati dan menjadikan ilmu sebagai pakaian hidup diri sendiri dan membantu insan lain mempakaiankan mereka dgn ilmu tersebut...

Hari ini bertempat berdekatan Mujamma' Abu Nour, Damsyiq Syria, dalam jam 3.30 petang (jam 8.30 malam di Malaysia) bertarikh 28 Jun 2008, hari sabtu bersamaan 24 Jamadil Akhir 1429 bermula blog saya...Insya Allah, moga ini menjadi antara sumbangan dakwah kita di akhirat kelak seperti yang diharapkan oleh kekawan kampus Universiti Malaya, AMIN