Tuesday, November 24, 2009
Lautan Dan Lembah Di Planet Marikh?
Sebuah peta baru Marikh yang lebih lengkap menunjukkan pernah wujud lautan luas di sebelah utara dan kawasan lembah di garisan khatulistiwa planet itu, memberi pembayang bahawa planet itu pernah memiliki iklim lembap dan hujan.
Peta yang dihasilkan oleh komputer itu berdasarkan data dari satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), turut menunjukkan rangkaian lembah di planet berwarna merak itu adalah dua kali lebih luas berbanding anggaran sebelum ini.
"Kewujudan lembah menunjukkan berlakunya hakisan akibat hujan, proses sama yang membentuk lembah di planet kita.
"Hanya satu lautan yang wujud di kawasan hemisfera utara menunjukkan mengapa terdapat had di sebelah selatan yang penuh dengan rangkaian lembah," kata seorang profesor geografi di Universiti Northern Illinois, Wei Lou (gambar di bawah).
Katanya, bahagian paling selatan Marikh adalah jauh daripada kawasan berair dan hanya mendapat sedikit hujan dan tidak mempunyai lembah.
Tambah Lou, hujan hanya turun di kawasan laut dan sedikit kawasan darat yang berdekatan sekali gus membentuk kawasan lembah mengelilingi bahagian tengah planet tersebut.
Laporan ini disiarkan dalam Jurnal Penyelidikan Geofizik.
Sejak kapal pemerhati Mariner 9 milik NASA menemui rangkaian lembah di Marikh pada 1971, timbul pertikaian sama ada ia wujud akibat hakisan laluan air hasil daripada kelembapan dan hujan atau melalui cara hakisan air bawah tanah yang boleh berlaku dalam cuaca sejuk dan kering.
Sumber: Utusan dan Northern Illinois University
Friday, November 20, 2009
Siapa Salah?: Antara Ofensif, Neutral dan Konstruktif
Kadang-kadang memang ada orang yang suka mencari salah, ataupun berfikiran ‘ofensif’. Dia suka berfikir tentang mencari siapa yang silap. Dia akan selalu menyakiti hati orang lain,walaupun dia tidak pernah mahu menyakiti hati orang lain.
Gaya fikirnya menumpukan kepada mencari siapa yang bersalah, supaya dia selamat dari sebarang salah, walaupun sememangnya dia tak perlu takut dianggap bersalah. Maka lahirlah komunikasi dan interaksi yang melukakan orang di sekelilingnya.
Jikalau dia mencari fail di pejabat, dia suka bertanya, “Di mana awak letak fail berwarna merah tu?”, padahal dia boleh sahaja berkata, “Di mana fail berwarna merah tu?”.
Manakala pemikiran konstruktif pula adalah pemikiran yang melahirkan kerja berpasukan yang sinergi. Gaya fikir ini berlaku apabila seseorang itu tidak mementingkan ’siapa yang bersalah’, tetapi ‘apa yang boleh kita buat’ atau ‘bagaimana untuk mengatasinya’. Dengan gaya fikir begitu, tutur katanya nanti tidak akan menyakiti hati orang lain.
Berikut adalah beberapa contoh ayat-ayat orang berfikiran ofensif:
“Kenapa awak letak beg ni merata-rata? Saya tersepak tadi!” (Ofensif)
“Bagaimana beg ini boleh berada di sini?” (Neutral)
“Macamana kita nak pastikan pejabat kita tidak bersepah dan merbahaya ya?” (Konstruktif)
“Mana awak letak kertas tadi?” (Ofensif)
“Di mana kertas tadi?” (Neutral)
“Di mana saya boleh dapatkan kertas tadi ye?” (Konstruktif)
Kebiasaannya, orang yang berfikiran ofensif dan mencari salah akan menjadi lebih stress berbanding orang lain. Jika dia ditimpa musibah atau masalah, kebiasaannya dia akan berkata:
“Kenapa Tuhan uji saya begini?” (Ofensif)
“Kenapa saya? Kenapa!” (Ofensif)
“Semuanya tak kena. Takdir / Dunia / Hidup ini memang tidak adil!” (Ofensif menyalahkan hidup/dunia)
“Kenapalah aku ditakdirkan begini…” (Ofensif menyalah-nyalahkan takdir)
Untuk apa kita mempersoalkan ‘kenapa’ Tuhan melakukan sesuatu? Adakah Tuhan perlu memberikan alasanNya kepada kita? Sebaliknya, orang yang neutral-positif akan berkata:
“Apakah hikmah yang Tuhan ingin tunjukkan dalam kejadian ini?” (Neutral-Positif)
Manakala orang yang Konstruktif akan berkata:
“Apa yang boleh/patut aku lakukan untuk menghadapi situasi ini?” (Konstruktif)
“Apa kekuatan/peluang yang aku boleh gunakan untuk menyelesaikan masalah ini?” (Konstruktif)
“Siapa yang boleh bantu saya selesaikan situasi ini?” (Konstruktif)
“Apakah kebaikan yang saya boleh perolehi selepas saya berjaya selesaikan masalah ini?” (Konstruktif)
Jadi..Siapa yang bersalah?
Sumber: http://kuasamotivasi.com/
PBB Iktiraf Negara Palestin Tanpa Israel?
Jumaat,20/11/2009 – Kerajaan Palestin pimpinan Ismail Haneyya menyambut naik kemungkinan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengiktiraf negara Palestin bebas daripada penempatan Israel dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara seperti sempadan pada tarikh 4 Jun 1967.
Sessi mesyuarat mingguan kerajaan pada Sabtu lalu mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa resolusi itu akan membuka pintu bagi generasi akan datang untuk menuntut kembali baki tanah Palestin pada tahun 1948.
Ia berkata idea pihak berkuasa Ramallah untuk beralih kepada Majlis Keselamatan PBB ditambah dengan penolakan Israel daripada semua perjanjian baru dengan PLO membuktikan bahawa rundingan telah menemui jalan buntu.
Sumber: http://palestinkini.info/?p=4729#more-4729
Wednesday, November 18, 2009
Kedah Sejahtera: Perkembangan Ekonomi Darul Aman
Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Y.A.B Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah menggariskan beberapa keperluan baru bagi meningkatkan ekonomi Negeri Kedah serta kebajikan terhadap rakyat.
Dalam sesi ucapan ketika membentangkan Bajet 2010, terdapat beberapa perkara penting yang menjadi nadi pengurusan ekonomi yang cekap dan baik oleh kerajaan negeri Kedah antaranya :
* Sehingga Ogos 2009, Kedah menerima kelulusan pelaburan berjumlah RM 837, 345, 329 iaitu merupakan negeri kelima mendapat pelaburan teringgi di Malaysia selepas Sarawak, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
* Pengurangan hasil tanah berikutan langkah kerajaan memberi rebet kepada hasil tanah sebanyak 50% berjaya ditampung melalui peningkatan hasil di bidang-bidang berikut :
•Kenaikan kutipan royalti bahan batuan sebanyak RM 19 juta tahun ini kerana usaha penguatkuasaan dan pengurusan yang rapi oleh Pejabat-Pejabat Tanah.
•Kenaikan hasil balak daripada RM 8 juta setahun sebelum ini kepada RM35 juta pada tahun 2009 kerana polisi atau dasar tender terbuka yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri.
•Dividen atas sumbangan daripada 11 buah GLC kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 30 juta. Inilah pembayaran yang pertama kali diterima oleh Kerajaan Negeri selepas usaha-usaha penyusunan semula GLC berjaya meningkatkan aktiviti dan keuntungan setiap GLC.
•Bagi tahuan 2009, Kerajaan Negeri masih menunggu pembayaran daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 40 juta yang sepatutnya telah dibayar sebelum Oktober setiap tahun.
•Amalan perancangan dan pengurusan ekonomi oleh Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul bertepatan dengan Sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya Allah begitu kasih apabila salah seorang daripada kamu melakukan amalan atau perbuatan dan ia lakukannya dengan betul, tepat dan cermat".
* Kerajaan memperkenalkan polisi bahawa tanah pertanian akan dikekalkan untuk pertanian sahaja.
* Satu program baru akan dilancarkan tahun 2010 iaitu program Merakyatkan Akuakultur. Kerajaan akan menyediakan insentif atau modal awalan kepada usahawan tani tempatan untuk menceburi secara komersial ternakan ikan keli dan ikan talapia di Negeri Kedah. Usahawan-usahawan ini akan dibantu oleh GLC iaitu Kedah Agro Akuakultur Sdn. Bhd. secara "contract farming". Sejumlah RM 1 juta telah disediakan pada tahun 2010.
* Defisit di dalam Bajet 2010 adalah berjumlah RM16.1 juta atau 3.16% berbanding defisit tahun 2009 sebanyak RM17.53 juta atau 3.47%.
Selain memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi Negeri Kedah, Bajet 2010 turut menekankan terhadap pembangunan dan kesejahtera rakyat secara komited. Perkara-perkara penting yang diberi penekanan dalam sesi ucapan Bajet 2010 adalah seperti :
* Usaha memperkasakan Maktab Mahmud sebagai Institusi pelajaran milik kerajaan negeri di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang merupakan lambang kebanggaan negeri sejak zaman berzaman akan diteruskan.
* Kerajaan Negeri telah menetapkan dasar untuk menukar pinjaman kepada biasiswa.
* Kerajaan Negeri berusaha membentuk golongan remaja yang memiliki pengetahuan, berperibadi mulia dan berakhlak unggul selaras dengan adab dan tatasusila masyarakat Malaysia. Selaras dengan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan kem Bina Sahsiah di kalangan pelajar sekolah menengah pada setiap cuti akhir tahun. Selain itu Kerajaan Negeri memohon kerjasama jabatan-jabatan yang terlibat membantu membenteras kegiatan yang kurang sihat seperti berikut:
•Pihak berkuasa tempatan memperketatkan proses pengeluaran lesen premis perniagaan yang berunsur negatif.
•Polis memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pusat-pusat hiburan.
•Jabatan Agama Islam memperkasakan aktiviti pencegahan maksiat.
•Kerajaan Negeri berharap agar pihak Pemaju Perumahan Negeri Kedah supaya membina lebih banyak rumah untuk keperluan penduduk Kedah, bukannya membina rumah berharga tinggi untuk mencari keuntungan semata-mata.
•Bagi membela keluarga termiskin yang memerlukan bantuan rumah, Kerajaan melaksanakan program membina rumah untuk keluarga termiskin mulai akhir tahun 2009.
•Kepada Insan yang kurang upaya dan yang memerlukan bantuan, Kerajaan memperuntukkan bantuan sara hidup sebanyak RM13.575 juta atau tambahan sebanyak RM975 ribu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
•Mulai tahun 2010, satu program baru yang dikenali sebagai Skim Kifalah Kedah akan dilancarkan. Menerusi skim ini, Kerajaan memberi sumbangan sebanyak RM500.00 bagi pengurusan jenazah seorang warga emas di dalam kategori termiskin tanpa mengira agama atau kaum. Langkah ini dibuat bagi meringankan beban keluarga yang termiskin. Kerajaan Negeri sedang merangka mekanisma penyaluran bantuan kepada pihak yang terlibat. Polisi ini menepati dengan ajaran Islam dimana digalakkan kita membantu setiap insan yang tidak berupaya.
•Maksud Hadis 1:
"Allah S.W T. akan menolong hamba-Nya sebagaimana hamba-Nya itu sentiasa menolong saudaranya"
•Maksud Hadis 2:
"Kasihilah kamu setiap makhluk yang berada di muka bumi nescaya aku akan dikasihi setiap yang berada di langit"
•Maksud Hadis 3:
"Barangsiapa yang tidak mengasihi orang nescaya dia tidak akan dikasihi oleh orang lain"
* Kedah merupakan negeri yang pertama menandatangani perjanjian dengan syarikat pengurusan kutipan sampah dan pelupusan sisa pepejal.
Perkara ini merupakan antara beberapa perkara penting yang digariskan oleh Y.A.B Menteri Besar Kedah ketika sesi Ucapan bajet 2010 yang dibentangkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.
*Bagi mendapatkan Ucapan Bajet 2010, sila layari laman web Kedah Sejahtera di
http://www.kedahsejahtera.com.my
Kedah Communication & Events Sdn. Bhd. (KCE)
Wednesday, November 11, 2009
Sistem Kewangan Islam Sebagai Alternatif 'Wajib'.
Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam sesi pembukaan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam yakni, sektor kewangan Islam tidak hanya penting kepada Malaysia, malah menjadi elemen strategik pemulihan ekonomi global daripada krisis kewangan yang menggugat institusi perbankan antarabangsa. Perdana Menteri berkata dengan kerugian besar yang ditanggung institusi perbankan konvensional, perkembangan pesat sektor perbankan Islam kini menarik perhatian global.
Saya ingin mengaitkan ungkapan Perdana Menteri tersebut dengan kertas kerja yang dibentangkan di dalam Seminar Ekonomi Alternatif, anjuran Akademi Sains Islam Malaysia(ASASI) pada 23 Mei 2009, di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Kerugian yang berlaku terutamanya di Amerika dan Eropah yang kini sedang berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi akibat sistem kapitalis yang diamalkan dengan menggunakan berbilion duit rakyat masing-masing.
Namun, kaedah tersebut tetap tidak memberi hasil yang positif kerana masih berlaku ketempangan. Hal ini kerana, bank-bank, syarikat-syarikat gergasi telah muflis , rakyat hilang pekerjaan dan kemiskinan berleluasa hingga menyebabkan jurang kekayaan dan kemiskinan kian jauh.
Penyelesaian kepada krisis kapitalisma ini bukanlah dengan memperbaiki sistem ini, tetapi perlu meninggalkan sistem ini dan mencari alternatif baru iaitu satu sistem ekonomi terancang yang bukan berasaskan keuntungan semata-mata. Bagi penulis, sistem ekonomi yang ideal ialah sistem yang berasaskan kebajikan yang mementingkan maslahat umum berbanding keuntungan satu-satu pihak.
Menurut Prof. Shaharir Mohamad Zain, sekumpulan penyelidik di Austria menyatakan bahawa adanya ahli-ahli ekonomi Barat yang semakin memfokuskan penyelidikan ekonominya kepada isu kebahagiaan bermula sejak 10 tahun lalu. Maka, tidak hairanlah Economics Journal keluaran 1997 memuatkan isu ini sebagai suatu isu kontroversi, dan majalah Economists 2006 menyatakan, baru sekarang ahli ekonomi bertemu dengan perkara yang sepatutnya mereka kejari sejak dahulu lagi iaitu kebahagiaan.
Untuk mencapai kebajikan dari aspek ekonomi, suatu usaha yang mementingkan maslahat umum demi mewujudkan kebahagiaan yang sejati, perlu difikirkan beberapa penyelesaian yang releven. Antara idea penyelesaian yang perlu dilaksanakan secara bersistem ialah mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.
Sebagai alternatif kepada sistem ekonomi konvensional seperti kapitalis, suatu sistem tanpa riba perlu diaplikasikan segera. Menurut Dr Yahia Abdul-Rahman, pengasas American Finance House menyatakan bahawa, perundangan kewangan Islam adalah berasaskan bimetallic yakni sistem dwi-logam (emas dan perak). Sistem ini menggunakan emas dan perak yang memiliki ciri tidak boleh cetak rompak, nilai yang stabil tanpa inflasi. Jadi, masalah yang berlaku kepada ekonomi yang berasaskan wang cetak tersebut yang memudahkan manipulasi tidak akan berlaku.
Bagi menjayakan usaha tersebut secara lebih utuh, ia perlu dilaksanakan secara konsensus dan kolektif dengan negara-negara yang lain. Masyarakat yang berhati mulia ialah masyarakat yang tidak mementingkan diri semata-mata. Jadi, kebaikan yang akan dicapai melalui sistem ekonomi ideal ini perlu dikongsi dan disepakati dengan negara-negara yang lain, paling kurang pun sesama negara Asia Tenggara atau negara-negara Asia atau negara-negara OIC.
Sebagai perbandingan, dalam makalah yang dibentangkan di International Seminar, Indonesia-Malaysia on the Role and Harmonization of Economics and Business Disciplines in Global Competitiveness, dinyatakan bahawa kejayaan bentuk kerjasama negara-negara maju dengan mudah dapat kita lihat dari pembentukan Negara Kesatuan Eropah dengan matawang tunggalnya iaitu Euro, Pertubuhan Ekonorni Asia-Pasifik (Asia-Pasific Economic Cooperation, APEC), Pertubuhan Perdagangan Bebas Atlantik Utara (North Atlantic Free-Trade Association, NAFT A),dan pelbagai bentuk kawasan perdagangan bebas (free trade areas) antara negara maju lainnya.
Dalam Journal of Economic Cooperation among Islamic Countries. Vol. 21, setidak-tidaknya, ada 18 bentuk kerjasama yang membabitkan dunia Islam sekarang. Jadi, ia boleh dijadikan inisiatif awal jika dilakukan perbincangan konstruktif berhubung dengan ekonomi tanpa inflasi, manipulasi, riba dan seumpamanya. Namun, diakui ia bukan semudah idea dalam penulisan. Jadi, pada peringkat Malaysia, ia perlu dilakukan dengan melakukan pendedahan kepada umum tentang kelebihan dan kepentingan ekonomi Islam seperti menggunakan Dinar Emas.
Beberapa usaha menarik telah dilakukan dan patut dicontohi seperti idea Tun Mahathir tentang keperluan Dinar Emas tidak lama dulu, penubuhan akaun-akaun bank berasaskan dinar emas sebagai usaha awal dan galakan kerajaan Kelantan terhadap penggunaan Dinar Emas untuk bayaran mas kahwin dan seumpamanya.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom mengatakan pada ogos lalu, penggunaan nilai dinar emas dalam perdagangan antara negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu dikaji kembali. Ia pasti membantu sektor kewangan Islam kini yang merupakan pilihan wajib untuk memulihkan ekonomi global. Jadi, sudah pasti perkembangan ini akan lebih menarik perhatian global persis ungkapan Perdana Menteri sebelum ini.
Artikel ini juga disiarkan di dalam akhbar online Mstar
Tuesday, November 3, 2009
Karya Klasik dan Sains Moden: Benarkah Karya Klasik Dianggap Karya Jumud?
Assalamualaikum, dah sebulan tak update blog, mungkin ingin 'warm up' sikit, mulakan dulu dengan pendedahan buku menarik tentang kehebatan ilmuwan dahulu yang pernah meletakkan Asia Tenggara di mata dunia
Judul: Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika
Penulis: Mohd Zaidi Abdullah
Penerbit: Kurnia Ilham, Kompleks PKNS, Shah Alam
Tebal: 336 halaman
Penyelidikan tentang karya-karya silam semakin meningkat di peringkat antarabangsa termasuk di kalangan cendekiawan non-Muslim sendiri seperti yang dilakukan oleh pakar sains, Stephen Hawking, yang menyunting karya-karya klasik ke dalam sebuah buku. Mungkin kajian karya klasik dilihat akan mengilhamkan pemikiran sains terkini. Seiring dengan senario semasa ini, Mohd Zaidi Abdullah telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika.
Dalam buku ini, beliau telah berjaya menggunakan karya-karya yang digunakan dalam sistem pengajian pemikiran Islam di Asia Tenggara yang mana seperti kita maklumi bahawa, dalam sistem pengajian Islam Asia Tenggara banyak ilmu ini disumbangkan oleh sistem pengajian di Tanah Haram terutama Mekah.
Sebelum buku ini diterbitkan, saya sendiri telah mendengar penulisnya menyampaikan syarahan bertajuk Falsafah Sains Mengikut Tradisi al-Hikmah anjuran Pusat Sains Nuklear dan Akademi Sains Islam Malaysia. Syarahan itu merupakan saringan yang bersifat sains daripada buku ini.
Sentuhan penting karya ini adalah tentang `cahaya yang mencerahkan’ apa jua situasi sama ada secara simbolik atau nyata. Oleh kerana pernah menghasilkan tesis berjudul Konsep An-Nur: Suatu Kajian Pemikiran al-Ghazali dan Sains Moden, saya berpendapat pengembangan idea cahaya oleh Mohd Zaidi seakan selari dengan pengkajian yang telah saya lakukan. Sains dan teknologi kini banyak disumbangkan oleh kajian tentang cahaya seperti kajian optik, laser, teori kuantum dan sebagainya.
Kajian tentang teori kuantum misalnya, adalah sesuatu yang menarik untuk dikaji kerana ia melibatkan kajian berkenaan sifat-sifat cahaya dan fenomena-fenomena yang berkaitan dengan cahaya itu sendiri.
Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi juga memfokuskan kajian tentang falsafah-hikmah yang berasaskan epistemologi dan dengannya, terhasil satu paradigma hierarki hikmah yang digabungkan daripada falsafah teori dan falsafah amali.
Falsafah dalam karya ini telah diistilahkan semula oleh penulisnya menjadi Hikmah. Hikmah menurut pengalaman keilmuan tamadun Islam ialah satu bidang ilmu yang mengkaji tentang perkara wujud. Jadi, para pembaca mesti meneliti betul-betul isi kandungannya.
Dalam hierarki hikmahnya yang paling abstrak dan murni yakni yang semakin tidak berbahan maka itulah hikmah pertama atau utama (hikmah ula).
Alam matematik dan geometri pula mengisi kebijaksanaan pertengahan (hikmah wusta). Di bawahnya pula, terisi kajian tentang bahan dan alam yang disebut kebijaksanaan rendah (hikmah asfal). Kelas-kelas ini meliputi juga sub-sub bidangnya yang luas tetapi keluasan skopnya masih berada dalam induk Hikmah al-Isyraqi.
Buku ini juga menampilkan kajian sistem maqulat serta kaitannya dengan induk al-hikmah dan pengalaman pengajiannya di Nusantara buat pertama kali dalam bahasa kebangsaan.
Sistem maqulat adalah predikat kelas tertinggi bagi sesuatu yang berada dalam keadaan kemungkinan (mumkin al-maujud). Di Barat, Max Planck (penerima Hadiah Nobel Fizik 1918) membahagikan pemikiran sains kepada tiga, (1) dunia fakta, (2) dunia yang ditanggapi pancaindera dan (3) dunia model dan idea. Dua perkembangan ini harus dinilai semula bagi mendapatkan suatu sintesis baru dalam pembinaan medan sains Islam.
Bagi penulis, buku ini memaparkan bentuk pemikiran saintifik yang dialami oleh ulama Melayu serta mewariskannya secara turun temurun. Dengan penulisannya dalam bahasa Melayu dijangka akan meningkatkan lagi martabat bahasa kerana berjaya mengungkap satu bentuk pemikiran al-hikmah yang rumit.
Secara tidak langsung, kita masih memiliki jati diri sendiri dalam masyarakat yang sedang dihidangkan dengan falsafah, sains dan teknologi Barat. Keberadaan pemikiran yang terkandung dalam buku ini dapat memposisikan diri kita ketika berhadapan dengan arus globalisasi. Kerana keistimewaan serta potensi buku ini, Prof. Emeritus Osman Bakar dan Prof. Madya Shahidan Radiman sudi menulis kata pengantar.
Sumber: Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)

Subscribe to:
Posts (Atom)