Friday, November 20, 2009

Siapa Salah?: Antara Ofensif, Neutral dan Konstruktif



Kadang-kadang memang ada orang yang suka mencari salah, ataupun berfikiran ‘ofensif’. Dia suka berfikir tentang mencari siapa yang silap. Dia akan selalu menyakiti hati orang lain,walaupun dia tidak pernah mahu menyakiti hati orang lain.

Gaya fikirnya menumpukan kepada mencari siapa yang bersalah, supaya dia selamat dari sebarang salah, walaupun sememangnya dia tak perlu takut dianggap bersalah. Maka lahirlah komunikasi dan interaksi yang melukakan orang di sekelilingnya.

Jikalau dia mencari fail di pejabat, dia suka bertanya, “Di mana awak letak fail berwarna merah tu?”, padahal dia boleh sahaja berkata, “Di mana fail berwarna merah tu?”.

Manakala pemikiran konstruktif pula adalah pemikiran yang melahirkan kerja berpasukan yang sinergi. Gaya fikir ini berlaku apabila seseorang itu tidak mementingkan ’siapa yang bersalah’, tetapi ‘apa yang boleh kita buat’ atau ‘bagaimana untuk mengatasinya’. Dengan gaya fikir begitu, tutur katanya nanti tidak akan menyakiti hati orang lain.

Berikut adalah beberapa contoh ayat-ayat orang berfikiran ofensif:

“Kenapa awak letak beg ni merata-rata? Saya tersepak tadi!” (Ofensif)
“Bag
aimana beg ini boleh berada di sini?” (Neutral)
“Macamana kita nak pastikan pejabat kita tidak bersepah dan merbahaya ya?” (Konstruktif)

“Mana awak letak kertas tadi?” (Ofensif)
“Di mana kertas tadi?” (Neutral)
“Di mana saya boleh dapatkan kertas tadi ye?” (Konstruktif)


Kebiasaannya, orang yang berfikiran ofensif dan mencari salah akan menjadi lebih stress berbanding orang lain. Jika dia ditimpa musibah atau masalah, kebiasaannya dia akan berkata:

“Kenapa Tuhan uji saya begini?” (Ofensif)
“Kenapa saya? Kenapa!” (Ofensif)
“Semuanya tak kena. Takdir / Dunia / Hidup ini memang tidak adil!” (Ofensif menyalahkan hidup/dunia)
“Kenapalah aku ditakdirkan begini…” (Ofensif menyalah-nyalahkan takdir)


Untuk apa kita mempersoalkan ‘kenapa’ Tuhan melakukan sesuatu? Adakah Tuhan perlu memberikan alasanNya kepada kita? Sebaliknya, orang yang neutral-positif akan berkata:

“Apakah hikmah yang Tuhan ingin tunjukkan dalam kejadian ini?” (Neutral-Positif)


Manakala orang yang Konstruktif akan berkata:

“Apa yang boleh/patut aku lakukan untuk menghadapi situasi ini?” (Konstruktif)
“Apa kekuatan/peluang yang aku boleh gunakan untuk menyelesaikan masalah ini?” (Konstruktif)
“Siapa yang boleh bantu saya selesaikan situasi ini?” (Konstruktif)
“Apakah kebaikan yang saya boleh perolehi selepas saya berjaya selesaikan masalah ini?” (Konstruktif)


Jadi..Siapa yang bersalah?

Sumber: http://kuasamotivasi.com/

No comments: