Wednesday, November 11, 2009

Sistem Kewangan Islam Sebagai Alternatif 'Wajib'.


Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam sesi pembukaan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam yakni, sektor kewangan Islam tidak hanya penting kepada Malaysia, malah menjadi elemen strategik pemulihan ekonomi global daripada krisis kewangan yang menggugat institusi perbankan antarabangsa. Perdana Menteri berkata dengan kerugian besar yang ditanggung institusi perbankan konvensional, perkembangan pesat sektor perbankan Islam kini menarik perhatian global.

Saya ingin mengaitkan ungkapan Perdana Menteri tersebut dengan kertas kerja yang dibentangkan di dalam Seminar Ekonomi Alternatif, anjuran Akademi Sains Islam Malaysia(ASASI) pada 23 Mei 2009, di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Kerugian yang berlaku terutamanya di Amerika dan Eropah yang kini sedang berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi akibat sistem kapitalis yang diamalkan dengan menggunakan berbilion duit rakyat masing-masing.

Namun, kaedah tersebut tetap tidak memberi hasil yang positif kerana masih berlaku ketempangan. Hal ini kerana, bank-bank, syarikat-syarikat gergasi telah muflis , rakyat hilang pekerjaan dan kemiskinan berleluasa hingga menyebabkan jurang kekayaan dan kemiskinan kian jauh.

Penyelesaian kepada krisis kapitalisma ini bukanlah dengan memperbaiki sistem ini, tetapi perlu meninggalkan sistem ini dan mencari alternatif baru iaitu satu sistem ekonomi terancang yang bukan berasaskan keuntungan semata-mata. Bagi penulis, sistem ekonomi yang ideal ialah sistem yang berasaskan kebajikan yang mementingkan maslahat umum berbanding keuntungan satu-satu pihak.

Menurut Prof. Shaharir Mohamad Zain, sekumpulan penyelidik di Austria menyatakan bahawa adanya ahli-ahli ekonomi Barat yang semakin memfokuskan penyelidikan ekonominya kepada isu kebahagiaan bermula sejak 10 tahun lalu. Maka, tidak hairanlah Economics Journal keluaran 1997 memuatkan isu ini sebagai suatu isu kontroversi, dan majalah Economists 2006 menyatakan, baru sekarang ahli ekonomi bertemu dengan perkara yang sepatutnya mereka kejari sejak dahulu lagi iaitu kebahagiaan.

Untuk mencapai kebajikan dari aspek ekonomi, suatu usaha yang mementingkan maslahat umum demi mewujudkan kebahagiaan yang sejati, perlu difikirkan beberapa penyelesaian yang releven. Antara idea penyelesaian yang perlu dilaksanakan secara bersistem ialah mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.

Sebagai alternatif kepada sistem ekonomi konvensional seperti kapitalis, suatu sistem tanpa riba perlu diaplikasikan segera. Menurut Dr Yahia Abdul-Rahman, pengasas American Finance House menyatakan bahawa, perundangan kewangan Islam adalah berasaskan bimetallic yakni sistem dwi-logam (emas dan perak). Sistem ini menggunakan emas dan perak yang memiliki ciri tidak boleh cetak rompak, nilai yang stabil tanpa inflasi. Jadi, masalah yang berlaku kepada ekonomi yang berasaskan wang cetak tersebut yang memudahkan manipulasi tidak akan berlaku.



Bagi menjayakan usaha tersebut secara lebih utuh, ia perlu dilaksanakan secara konsensus dan kolektif dengan negara-negara yang lain. Masyarakat yang berhati mulia ialah masyarakat yang tidak mementingkan diri semata-mata. Jadi, kebaikan yang akan dicapai melalui sistem ekonomi ideal ini perlu dikongsi dan disepakati dengan negara-negara yang lain, paling kurang pun sesama negara Asia Tenggara atau negara-negara Asia atau negara-negara OIC.

Sebagai perbandingan, dalam makalah yang dibentangkan di International Seminar, Indonesia-Malaysia on the Role and Harmonization of Economics and Business Disciplines in Global Competitiveness, dinyatakan bahawa kejayaan bentuk kerjasama negara-negara maju dengan mudah dapat kita lihat dari pembentukan Negara Kesatuan Eropah dengan matawang tunggalnya iaitu Euro, Pertubuhan Ekonorni Asia-Pasifik (Asia-Pasific Economic Cooperation, APEC), Pertubuhan Perdagangan Bebas Atlantik Utara (North Atlantic Free-Trade Association, NAFT A),dan pelbagai bentuk kawasan perdagangan bebas (free trade areas) antara negara maju lainnya.

Dalam Journal of Economic Cooperation among Islamic Countries. Vol. 21, setidak-tidaknya, ada 18 bentuk kerjasama yang membabitkan dunia Islam sekarang. Jadi, ia boleh dijadikan inisiatif awal jika dilakukan perbincangan konstruktif berhubung dengan ekonomi tanpa inflasi, manipulasi, riba dan seumpamanya. Namun, diakui ia bukan semudah idea dalam penulisan. Jadi, pada peringkat Malaysia, ia perlu dilakukan dengan melakukan pendedahan kepada umum tentang kelebihan dan kepentingan ekonomi Islam seperti menggunakan Dinar Emas.

Beberapa usaha menarik telah dilakukan dan patut dicontohi seperti idea Tun Mahathir tentang keperluan Dinar Emas tidak lama dulu, penubuhan akaun-akaun bank berasaskan dinar emas sebagai usaha awal dan galakan kerajaan Kelantan terhadap penggunaan Dinar Emas untuk bayaran mas kahwin dan seumpamanya.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom mengatakan pada ogos lalu, penggunaan nilai dinar emas dalam perdagangan antara negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu dikaji kembali. Ia pasti membantu sektor kewangan Islam kini yang merupakan pilihan wajib untuk memulihkan ekonomi global. Jadi, sudah pasti perkembangan ini akan lebih menarik perhatian global persis ungkapan Perdana Menteri sebelum ini.

Artikel ini juga disiarkan di dalam akhbar online Mstar

No comments: