Tuesday, November 3, 2009

Karya Klasik dan Sains Moden: Benarkah Karya Klasik Dianggap Karya Jumud?

Assalamualaikum, dah sebulan tak update blog, mungkin ingin 'warm up' sikit, mulakan dulu dengan pendedahan buku menarik tentang kehebatan ilmuwan dahulu yang pernah meletakkan Asia Tenggara di mata dunia



Judul: Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika
Penulis: Mohd Zaidi Abdullah
Penerbit: Kurnia Ilham, Kompleks PKNS, Shah Alam
Tebal: 336 halaman

Penyelidikan tentang karya-karya silam semakin meningkat di peringkat antarabangsa termasuk di kalangan cendekiawan non-Muslim sendiri seperti yang dilakukan oleh pakar sains, Stephen Hawking, yang menyunting karya-karya klasik ke dalam sebuah buku. Mungkin kajian karya klasik dilihat akan mengilhamkan pemikiran sains terkini. Seiring dengan senario semasa ini, Mohd Zaidi Abdullah telah menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika.

Dalam buku ini, beliau telah berjaya menggunakan karya-karya yang digunakan dalam sistem pengajian pemikiran Islam di Asia Tenggara yang mana seperti kita maklumi bahawa, dalam sistem pengajian Islam Asia Tenggara banyak ilmu ini disumbangkan oleh sistem pengajian di Tanah Haram terutama Mekah.

Sebelum buku ini diterbitkan, saya sendiri telah mendengar penulisnya menyampaikan syarahan bertajuk Falsafah Sains Mengikut Tradisi al-Hikmah anjuran Pusat Sains Nuklear dan Akademi Sains Islam Malaysia. Syarahan itu merupakan saringan yang bersifat sains daripada buku ini.

Sentuhan penting karya ini adalah tentang `cahaya yang mencerahkan’ apa jua situasi sama ada secara simbolik atau nyata. Oleh kerana pernah menghasilkan tesis berjudul Konsep An-Nur: Suatu Kajian Pemikiran al-Ghazali dan Sains Moden, saya berpendapat pengembangan idea cahaya oleh Mohd Zaidi seakan selari dengan pengkajian yang telah saya lakukan. Sains dan teknologi kini banyak disumbangkan oleh kajian tentang cahaya seperti kajian optik, laser, teori kuantum dan sebagainya.

Kajian tentang teori kuantum misalnya, adalah sesuatu yang menarik untuk dikaji kerana ia melibatkan kajian berkenaan sifat-sifat cahaya dan fenomena-fenomena yang berkaitan dengan cahaya itu sendiri.

Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi juga memfokuskan kajian tentang falsafah-hikmah yang berasaskan epistemologi dan dengannya, terhasil satu paradigma hierarki hikmah yang digabungkan daripada falsafah teori dan falsafah amali.

Falsafah dalam karya ini telah diistilahkan semula oleh penulisnya menjadi Hikmah. Hikmah menurut pengalaman keilmuan tamadun Islam ialah satu bidang ilmu yang mengkaji tentang perkara wujud. Jadi, para pembaca mesti meneliti betul-betul isi kandungannya.

Dalam hierarki hikmahnya yang paling abstrak dan murni yakni yang semakin tidak berbahan maka itulah hikmah pertama atau utama (hikmah ula).

Alam matematik dan geometri pula mengisi kebijaksanaan pertengahan (hikmah wusta). Di bawahnya pula, terisi kajian tentang bahan dan alam yang disebut kebijaksanaan rendah (hikmah asfal). Kelas-kelas ini meliputi juga sub-sub bidangnya yang luas tetapi keluasan skopnya masih berada dalam induk Hikmah al-Isyraqi.

Buku ini juga menampilkan kajian sistem maqulat serta kaitannya dengan induk al-hikmah dan pengalaman pengajiannya di Nusantara buat pertama kali dalam bahasa kebangsaan.

Sistem maqulat adalah predikat kelas tertinggi bagi sesuatu yang berada dalam keadaan kemungkinan (mumkin al-maujud). Di Barat, Max Planck (penerima Hadiah Nobel Fizik 1918) membahagikan pemikiran sains kepada tiga, (1) dunia fakta, (2) dunia yang ditanggapi pancaindera dan (3) dunia model dan idea. Dua perkembangan ini harus dinilai semula bagi mendapatkan suatu sintesis baru dalam pembinaan medan sains Islam.

Bagi penulis, buku ini memaparkan bentuk pemikiran saintifik yang dialami oleh ulama Melayu serta mewariskannya secara turun temurun. Dengan penulisannya dalam bahasa Melayu dijangka akan meningkatkan lagi martabat bahasa kerana berjaya mengungkap satu bentuk pemikiran al-hikmah yang rumit.

Secara tidak langsung, kita masih memiliki jati diri sendiri dalam masyarakat yang sedang dihidangkan dengan falsafah, sains dan teknologi Barat. Keberadaan pemikiran yang terkandung dalam buku ini dapat memposisikan diri kita ketika berhadapan dengan arus globalisasi. Kerana keistimewaan serta potensi buku ini, Prof. Emeritus Osman Bakar dan Prof. Madya Shahidan Radiman sudi menulis kata pengantar.

Sumber: Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)

No comments: