Sunday, April 26, 2009

Isu Anak Kekal Non Muslim...Apa Kata Ulama?



Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah.

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."


Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah.

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.


Begitu juga jika dirujuk kepada syarat Hadanah (penjagaan anak) iaitu:

a) Berakal.
b) Islam. Kanak-kanak tersebut mesti ikut salah seorang ibu atau bapanya yang memeluk Islam kerana orang kafir tidak berhak menjaga kanak-kanak Islam. Hadanah merupakan hak kekuasaan, jadi orang kafir tidak berkuasa terhadap orang Islam. Hal ini kerana, mungkin mereka akan pengaruhi kanak-kanak itu keluar Islam. Namun, jika kanak-kanak itu kafir, maka dibolehkan sama ada penjaga itu kafir atau Islam.
c) Iffah dan amanah iaitu tidak fasiq.
d) Bermukim.
e) Ibu tidak berkahwin lain.
f) Tiada penyakit yang jejaskan penjagaan.

Meskipun isu yang disentuh adalah status agama anak, ia juga ada kaitan dengan Hadanah. Jika kelak nanti ada pertikaian penjagaan anak, cara menentukan sama ada syarat Hadanah dipenuhi atau tidak perlu dilihat melalui:

a) Pengakuan penjaga itu sendiri bahawa diri tidak layak seperti berpenyakit.
b) Ada bantahan dari orang lain yang mendakwa penjaga tidak layak dengan bukti yang kukuh.
c) Keputusan hakim yang meragui syarat-syarat Hadanah tidak dipenuhi dan dipastikan melalui penyiasatan.

Jadi, dapat difahami bahawa setelah anak peluk Islam, hak Hadanah diserah kepada si penjaga yang muslim. Ia juga berkait rapat dengan status agama anak yang dikhuatiri dipengaruhi agar keluar Islam. Bagi menentukan sama ada mereka layak atau tidak maka ia bergantung kepada pengakuan, bantahan kukuh dan hakim mahkamah.

Situasi kini dapat lihat keputusan yang agak mengecewakan yang diluahkan oleh Mufti Perak dan lebih 100 NGO Islam setelah keputusan Kabinet tanpa perbicaraan yang putuskan agama anak kekal berada dalam Hindu. Tidak patut keputusan diputuskan tanpa ada perbicaraan mahkamah.

Rujukan:

1) Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Sharbaji, al-Fiqh al-Manhaji (Manhaj Fiqh al-Shafii).
2) al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah
3) Kitab al-Majmu'
4) Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Alfaz al-Minhaj.

Maklumat lengkap tentang cadangan penyelesaian, rujuk link.
Lihat juga bantahan NGO Islam, Majlis Peguam Syarie dan Ulama Malaysia rujuk link.

No comments: