Wednesday, April 8, 2009

Matematik dan Falsafah Saudara Kembar Tak Seiras?



Assalamualaikum...

Persoalan:
Apakah hubungan falsafah dan matematik? Di samping itu, mengapakah banyak juga ahli falsafah besar-besar datangnya dari latar matematik seperti Pithagoras, Russell, Wittgenstein, Leibniz, Newton dan sebagainya?

Sebenarnya matematik merupakan juzuk utama falsafah. Falsafah pula yang bermaksudkan cintakan kebenaran, ialah ilmu induk yang mempunyai tiga komponen iaitu sains, matematik dan metafizik.

Falsafah pada asalnya mengkaji alam semesta dengan menggunakan pemikiran secara mendalam untuk mengetahui hakikat kewujudan alam semesta. Alam semesta yang boleh dicerap indera dikaji dengan penghujahan mantik untuk sampai kepada hakikat ketuhanan. Ketuhanan merupakan matlamat utama falsafah.



Justeru, matematik dilihat sebagai ilmu yang menghubungkan sains dengan metafizik dalam skema ilmu falsafah. Maka, dengan takrifan ini, seseorang yang menguasai sains, matematik dan cabang-cabangnya serta sampai kepada hakikat kebenaran bahawa alam semesta ini sebagai manifestasi keagungan Ilahi, layak digelar ahli falsafah.

Ciri ini boleh diperhatikan dalam diri ahli falsafah seperti Pithagoras, al-Farabi, Liebniz, Newton dan Einstein misalnya. Mereka kesemuanya mengakui kewujudan Tuhan Yang Maha Agung sebagai pencipta mutlak alam semesta.

Namun, ada sebahagian ahli falsafah seperti Russell yang belum tamat pemikirannya lalu gagal sampai ke destinasi metafizik. Russell sangat dikenali sebagai ahli falsafah yang menafikan metafizik.

Dalam era moden ini pula, apabila seseorang pelajar melakukan kajian secara mendalam dalam cabang ilmu sains, matematik atau metafizik, beliau akan dianugerah Doktor Falsafah.



Falsafah di sini mewakili maksud kajian yang mendalam yang tersirat di belakangannya aktiviti mencari kebenaran/hakikat yang bertepatan dengan realiti. Maka sama ada seorang pelajar itu melakukan kajian dalam bidang matematik, biologi, ekologi, atau antropologi maka di akhir kajiannya maka beliau mendapat ijazah falsafah yakni PhD.

Sejarah hidup Newton boleh diperhatikan untuk menggambarkan maksud ahli falsafah. Beliau mengkaji alam semesta khususnya berkaitan kimia, fizik dan optik. Kajian ini menggunakan kekuatan logik dan matematik.

Beliau mengembangkan ilmu kalkulus dan teori penghampiran dalam matematik untuk menerangkan konsep gerakan, graviti dan optik. Beliau mengiktiraf ketuhanan yang Maha Agung, Yang Maha Esa. Pendirian beliau tentang ketuhanan berbeza dengan masyarakat Eropah yang lain.

Beliau menolak konsep triniti Kristian tetapi mengisytiharkan mazhab unitarian yang mengiktiraf ketuhanan yang Maha Mulia. Beliau lebih banyak menulis tentang ketuhanan berbanding dengan bidang sains yang lain. Itulah sebab Raja James yang menjadi penaung Kristian di England berkonflik dengan Newton kerana pendirian Newton bahawa Tuhan mesti Esa Sifat-Nya.



Newton berpesan agar kematian beliau tidak diuruskan jenazahnya seperti penganut Kristian yang lain. Perhatikan perkataan beliau dalam karya agungnya Mathematical Principles of Natural Philosophy:

“The true God is a living, intelligent, and powerful being…He is eternal and infinite, omnipotent and omniscient; that is, his duration reaches from eternity to eternity; his presence from infinity to infinity; he governs all things, and knows all things that are or can be done. …We know him only by his most wise and excellent contrivances of things… [W]e revere and adore him as his servants”.

Jelas Newton menggabungkan ketiga-tiga komponen falsafah iaitu sains, matematik dan metafizik yang melayakkan beliau digelar ahli falsafah. Setiap ahli falsafah semestinya seorang saintis, tetapi seorang saintis tidak semestinya ahli falsafah.

Oleh: Prof. Dr. Mat Rofa Ismail, dari Institut Penyelidikan Matematik, UPM
Sumber: Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)

No comments: